Beregu Koo-Tan Jadi Pengapit Chong Wei

Diterbitkan: Sabtu, 3 November 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pasangan beregu utama negara Koo Kean Keat dan Tan Boon Heong antara enam pengapit yang dipilih Datuk Chong Wei pada majlis perkahwinannya, kata pemain badminton nombor satu dunia.

Selain Koo dan Tan, Chong Wei berkata pengapit lain terdiri daripada rakan-rakan baiknya.

"Terdapat enam pengapit pengantin lelaki dan enam pengapit pengantin perempuan. Saya pilih enam sebab ia adalah nombor bertuah saya," katanya pada sidang media di DL Fashion, butik pengantin di sini hari ini. Tunang beliau, bekas pemain perseorangan badminton wanita negara, Wong Mew Choo turut hadir.

Chong Wei juga mengesahkan pemain China yang merupakan pesaing utamanya Lin Dan tidak dapat hadir pada majlis itu. "Beliau menyampaikan pesanan meminta maaf tidak dapat hadir. Beliau akan menyertai Kejohanan Terbuka China mempertahankan kejuaraannya," kata pemenang pingat perak Olimpik itu.

Pasangan itu akan berkahwin minggu depan yang diraikan pada majlis resepsi selama dua hari pada 9 dan 10 November di Kuala Lumpur Convention Centre.

Chong Wei berkata pendaftaran perkahwinan secara rasmi juga diadakan minggu depan. Bagaimanapun, tarikh masih belum ditentukan.

Sementara itu, DL Fashion dalam kenyataan media berkata perkahwinan bintang badminton negara itu akan ditaja oleh syarikat berkenaan dengan anggaran kos RM850,000 yang termasuk pakaian pengantin, sut, gambar perkahwinan dan video.

"Sebanyak 120 pakaian dan sut juga akan ditaja untuk anggota keluarga, pengapit pengantin lelaki dan pengapit pengantin wanita dan rakan-rakan baik mereka membabitkan jumlah RM400,000," kata kenyataan itu. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan