Nicol Melangkah Ke Akhir Terbuka AS

Diterbitkan: Jumaat, 12 Oktober 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Juara dunia enam kali Datuk Nicol Ann David kini hanya perlu melepasi halangan terakhir untuk merangkul kejuaraan sulungnya pada kejohanan Skuasy Terbuka Amerika Syarikat.

Nicol yang berjaya mengharungi pertarungan hebat pada peringkat separuh akhir akan bertemu pilihan kedua dan nombor tiga dunia Raneem El Weleily dari Mesir pada perlawanan akhir.

Pada pertemuan separuh akhir menentang Joelle King dari New Zealand pada Khamis, ratu skuasy negara itu mengambil masa satu jam 23 minit untuk mencatat kemenangan 3-2.

"Saya tahu perlawanan tidak akan berakhir selagi mata terakhir tidak diperolehi. Saya pernah melaluinya dan bertekad untuk tidak berputus asa atau membuat kesilapan serta berusaha mendapatkan kembali rentak saya," katanya dipetik laman sesawang rasmi kejohanan www.usopensquash.com.

Pada perlawanan yang berlangsung di Drexel University, Philadelphia itu, Nicol bermula cemerlang dengan memenangi dua set pertama 11-8 dan 11-6, namun Joelle bangkit dan menguasai dua set berikutnya 11-5, 11-8.

Pada set penentuan, Joelle mendahului 6-0, namun Nicol berjaya mengembalikan rentaknya dan menguasai perlawanan untuk memenangi set tersebut 11-7.

Pada satu lagi pertemuan separuh akhir, Raneem menundukkan pemain nombor dua dunia Laura Massaro dari England juga dengan lima set.

Raneem mengambil masa satu jam untuk menang dengan 7-11, 11-8, 11-9, 10-12 dan 11-4. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan