Terbuka Amerika Syarikat: Fish Tarik Diri, Federer Menang Percuma

Diterbitkan: Selasa, 4 September 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Fish terpaksa menarik diri untuk pusingan keempat selepas mengalami masalah kesihatan.
Fish terpaksa menarik diri untuk pusingan keempat selepas mengalami masalah kesihatan.

PEMAIN nombor satu dunia, Roger Federer menang tanpa bertanding untuk mara ke suku akhir selepas lawannya dalam pusingan keempat Kejohanan Tenis Terbuka Amerika Syarikat, Mardy Fish menarik diri berikutan masalah kesihatan pada awal pagi Selasa.

Keputusan itu dibuat selepas pemain yang menduduki tangga ke-23 dunia itu turut terlepas aksi awal musim ini berikutan masalah kesihatan dan turut menerima rawatan ketika bekerja keras untuk menang pusingan ketiga ketika bertemu Gilles Simon Sabtu lalu.

"Saya kecewa kerana terpaksa menarik diri pada kejohanan ini berikutan masalah yang tidak dapat dielakan.

"Saya enggan menarik diri, namun terpaksa mengikut nasihat pakar kesihatan. Saya telah mengharungi musim yang baik dan harap dapat meneruskan aksi lagi selepas ini," jelas pemain Amerika Syarikat ini.

Dengan keputusan ini, Federer bakal mencatat 34 kali beraksi pada pusingan suku akhir Grand Slam.

Pemain Switzerland berusia 31 tahun ini akan bertemu Tomas Berdych selepas pemain Czech yang berada di ranking keenam dunia itu menewaskan pemain Sepanyol, Nicolas Almagro, 7-6 6-4 6-1.

"Saya simpati ke atas Mardy. Saya hanya mampu mendoakan agar dia cepat sembuh. Kami semua mahu melihat dia kembali beraksi secepat mungkin," kata Federer.

Selain itu, Federer juga menjangkakan pertemuan dengan Tomas pada aksi suku akhir ini lebih sengit.

"Kami telah banyak kali bertemu dan dia selalu menjadi lawan yang sukar. Saya perlu melakukan pukulan dengan baik dan cuba mengutip mata," katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan