Azlan Bersara Daripada Jelajah Dunia PSA Berkuat Kuasa Serta Merta

Diterbitkan: Ahad, 2 September 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pemain utama skuasy negara Mohd Azlan Iskandar pada Ahad mengumumkan persaraannya daripada kejohanan profesional antarabangsa iaitu Jelajah Dunia Persatuan Skuasy Profesional (PSA) berkuat kuasa serta-merta.

PSA adalah badan induk kepada pemain skuasy lelaki dunia dan anggota gabungan Persekutuan Skuasy Dunia yang mentadbir sukan berkenaan di peringkat antarabangsa bagi kedua-dua pemain lelaki dan wanita.

Pemain berusia 30 tahun dari Sarawak itu yang menjadi anggota PSA sejak 2000, berkata beliau akan membantu pembangunan skuasy negara dan mengembangkan akademi skuasy beliau iaitu Akademi Skuasy Azlan Iskandar (AISA).

Pemenang pingat emas Sukan Asia 2010 itu berkata beliau membuat keputusan yang sukar itu selepas memikirkannya dengan serius selama enam bulan berikutan beberapa faktor termasuk akibat kecederaan dan sering ke luar negara bagi menyertai kejohanan sejak 14 tahun lepas.

"Ia sedikit kecewa bersara pada usia yang awal ini tetapi saya gembira kerana mencapai beberapa kejayaan dalam karier saya yang telah ditetapkan sejak saya masih kecil," katanya kepada pemberita di sini, Ahad.

"Bagaimanapun, saya akan tetap beraksi di kejohanan tempatan dan jika negara memerlukan saya bermain pada Sukan Asia di Korea Selatan dan Sukan Komanwel di Scotland pada 2014, saya akan bermain," kata juara dua kali Kejohanan Asia itu.

Mengenai AISA, beliau berkata akademi itu mempunyai beberapa cawangan di Malaysia iaitu Kuala Lumpur, Kedah, Melaka, Sarawak dan Terengganu yang kini mempunyai pelajar mencecah 1,000 orang dan ia akan diperluaskan ke Negeri Sembilan dan Kelantan menjelang akhir tahun ini.

"Matlamat saya semasa membuka akademi ini bukan melahirkan jaguh dunia tetapi bagi menarik lebih ramai orang bermain skuasy dan jika mereka mahu beraksi dalam kejohanan, saya akan memberi sokongan penuh kepada mereka," katanya.

Mohd Azlan mula berkecimpung dalam sukan skuasy sejak berusia lapan tahun sebelum bakatnya dikenal pasti bekas ketua jurulatih kebangsaan, Mejar (B) S. Maniam, tiga tahun kemudian.

Beliau kemudian menyertai Program Tunas Gemilang pada 1998 di bawah Institut Sukan Negara, bertujuan mencungkil atlet muda berbakat yang berusia antara tujuh hingga 12 tahun.

Pada usia 17 tahun, beliau beralih menjadi pemain profesional di Malaysia dan beraksi dalam beberapa kejohanan tempatan.

Beliau telah memenangi 14 gelaran PSA semasa menjadi pemain profesional termasuk kejohanan Bluenose Classic di Kanada awal tahun ini dan Terbuka Amerika Utara pada tahun lepas. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan