Brunei Bakal Sertai Kejohanan Skuasy Terbuka PJ

Diterbitkan: Jumaat, 31 Ogos 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Buat julung kalinya, Kejohanan Skuasy Terbuka Petaling Jaya dan Kejohanan Tertutup Selangor edisi ke-32 di Kompleks Sukan Astaka, dari 14 hingga 22 September ini bakal menyaksikan penyertaan negara Brunei Darussalam.

Timbalan Datuk Bandar Petaling Jaya Puasa Mohd Taib berkata Brunei menunjukkan minat mendalam menyertai kejohanan tersebut yang menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah hampir RM10,000.

"Kita sangat mengalu-alukan penyertaan julung kali negara Brunei bagi memastikan persaingan lebih sengit antara peserta yang bertanding," katanya pada sidang akhbar di sini, Khamis.

Seramai 300 peserta mengambil bahagian dalam 13 kategori yang dipertandingkan kali ini.

Kejohanan anjuran bersama Persatuan Skuasy Selangor dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya itu akan turut disertai beberapa pemain dan bekas pemain kebangsaan termasuk Mohd Nafiizwan Mohd Adnan, pasangan adik-beradik Marcus dan Ivan Yuen serta Elvinn Keo.

"Selain itu, juara perseorangan lelaki Sukan Malaysia (Sukma) Pahang iaitu Muhammad Addeen Idrakie Bakhtiar dari Selangor turut mengesahkan penyertaan pada kejohanan kali ini," katanya.

Beliau berkata penganjur turut menjemput pemain pelapis kebangsaan menyertai kejohanan tersebut namun mereka tidak dapat menghadirkan diri kerana menyertai kem latihan pusat Majlis Sukan Negara dari 17 hingga 22 Sept ini.

Kategori terbuka melibatkan divisyen satu, dua, tiga dan empat bagi lelaki dan wanita serta kategori lelaki veteran 40 tahun dan 50 tahun ke atas.

Sementara itu, Kejohanan Tertutup Selangor yang bertujuan mencungkil bakat baru dalam sukan itu hanya terbuka kepada remaja lelaki dan perempuan berusia sembilan, 11 dan 13 tahun.-BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan