Kematian Punch Gunalan Kehilangan Besar Buat Negara

Diterbitkan: Rabu, 15 Ogos 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kematian legenda sukan badminton negara, Datuk Punch Gunalan pada Rabu merupakan satu kehilangan besar kerana beliau banyak menyumbang jasa dan tenaga untuk pembangunan sukan badminton negara.

Gunalan, 68, meninggal dunia di Pusat Perubatan Sime Darby, Subang Jaya dekat sini kira-kira 6.20 pagi ini akibat kanser pundi hempedu selepas tenat sejak dua minggu lepas di hospital sama.

Mendiang meninggalkan isteri P.Vijeyakumari, 64, dan anak lelaki, Roshan Gunalan, 36, seorang doktor ortopedik.

Sumbangan yang diberikan oleh mendiang semasa hayatnya bukan sekadar membawa pulang beberapa pingat emas kepada negara malah lebih besar daripada itu apabila mendiang menyambung keringat sebagai jurulatih kebangsaan selepas bersara pada 1975 dan kemudian bergiat aktif dalam persatuan badminton peringkat kebangsaan dan dunia.

Beliau mendapat pendedahan awal dalam sukan badminton sekitar tahun 1950-an ketika usianya baru mencecah enam tahun menerusi tunjuk ajar bapanya, Panchacharan.

Secara kompetitif, bakatnya mula menonjol ketika menjadi juara di Kejohanan Badminton Negeri Sembilan dalam kategori perseorangan dan beregu lelaki serta beregu campuran (1961-1963) dan sejak itu beliau tidak menoleh ke belakang lagi.

Pada 1970, mendiang Gunalan melakar sejarah tersendiri apabila meraih emas pertama negara pada Sukan Komanwel di Edinburg, Scotland bersama-sama Ng Boon Bee dalam acara beregu lelaki dan diikuti pingat emas acara perseorangan dan beregu pada Sukan Asia di Bangkok, Thailand dalam tahun yang sama.

Pada tahun berikutnya di Kejohanan All England di Wembley Arena, London, gandingan Punch-Boon Bee terus mengecapi kejayaan apabila memenangi kategori beregu lelaki.

Kehandalan Gunalan dalam arena badminton menjadikannya antara pemain perseorangan dan beregu lelaki terbaik dunia bersama gandingannya, Boon Bee.

Mendiang sekali lagi beraksi cemerlang pada Sukan Komanwel di Christchurch, New Zealand pada 1974 dengan meraih emas acara perseorangan dan gangsa bagi acara beregu.

Selain itu, Gunalan turut membawa balik pingat emas dalam acara perseorangan dan beregu pada kejohanan Southeast Asian Peninsular Games di Singapura pada 1973. Mendiang juga mewakili skuad Piala Thomas pada 1970 dan 1973.

Selepas bersara pada 1975, Gunalan terus menyumbang kepada dunia badminton dengan menjawat jawatan Pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dari 1975 hingga 1982, dan merupakan Presiden Persatuan Badminton Kuala Lumpur dari 1984 hingga 2007.

Beliau kemudian dilantik sebagai Setiausaha Kehormat BAM dari tahun 1985 hingga 1997, dan kemudiannya dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Gabungan Persatuan Badminton Asia dari tahun 1989 hingga 1993.

Pada 1990, beliau dilantik sebagai ketua jurulatih untuk Piala Thomas dan Uber yang dianjurkan Jepun, dan pengurus pasukan Sukan Komanwel yang berlangsung di New Zealand.

Ketika Kuala Lumpur menjadi tuan rumah Piala Thomas dan Uber pada 1992, Gunalan sekali lagi dilantik sebagai ketua jurulatih negara dan berjaya membawa Malaysia menjulang Piala Thomas pada tahun itun1992.

Hasil kejayaan Piala Thomas itu menyaksikan beliau dilantik sebagai pengurus pasukan Sukan Olimpik Barcelona, Sepanyol pada tahun yang sama, di mana gandingan adik-beradik Razif dan Jalani Sidek meraih pingat gangsa acara beregu lelaki, pingat pertama Malaysia di Sukan Olimpik.

Semasa hayatnya, mendiang Gunalan pernah memegang jawatan sebagai Setiausaha Kehormat Persekutuan Badminton Asia dari 1991 hingga 2005.

Antara jawatan penting yang pernah disandang mendiang ialah Timbalan Presiden BAM pada 2005 dan Presiden Persekutuan Badminton Antarabangsa (IBF) pada 2004 hingga 2008. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan