Badminton: Kepulangan Chong Wei Disambut Sebagai Wira - Raket | mStar

Badminton: Kepulangan Chong Wei Disambut Sebagai Wira

Diterbitkan: Selasa, 7 Ogos 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Razali Ibrahim (dua, kiri) menunjukkan pingat perak yang dimenangi Chong Wei (dua,kanan) ketika tiba di KLIA di sini, Selasa.
Razali Ibrahim (dua, kiri) menunjukkan pingat perak yang dimenangi Chong Wei (dua,kanan) ketika tiba di KLIA di sini, Selasa.

SEPANG: Jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei, yang meraih pingat perak pada Sukan Olimpik London 2012, diberi sambutan wira oleh lebih 1,000 peminat yang mengibarkan bendera dan melaungkan kata-kata sokongan setibanya di tanah air pada Selasa.

Ruang balai ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dipenuhi peminat dan penyokong yang tiba seawal 6 pagi dengan membawa sepanduk dan poster antaranya tertera 'LCW - National Hero' dan 'We Love You LCW'.

Semasa menantikan ketibaan Chong Wei, mereka turut menyanyikan beberapa lagu patriotik seperti 'Negaraku' dan 'Barisan Kita' secara beramai-ramai.

Suasana di balai ketibaan itu riuh apabila berita pesawat Malaysia Airlines MH02 yang membawa Chong Wei dari London dilapor mendarat pada kira-kira 7.30 pagi, dengan peminat mula melaung-laungkan nama beliau berulang kali.

Sebaik sahaja Chong Wei melangkah ke balai ketibaan sejam kemudian, para peminat dan penyokong melaungkan slogan 'Malaysia Boleh' dan menyanyikan lagu 'Negaraku' dan 'Barisan Kita' serta melaungkan nama pemain badminton negara itu.

Chong Wei turut bertemu dengan kumpulan media di balai ketibaan sambil mengalungkan pingat perak Olimpik yang dimenanginya untuk sesi bergambar media disambut sorakan gembira peminat.

Pada perlawanan akhir perseorangan lelaki Sukan Olimpik 2012, Chong Wei kecundang 21-15, 10-21, 19-21 kepada pemain nombor satu dunia, Lin Dan dari China.

Meskipun gagal dalam misi membawa pulang emas pertama negara di temasya Olimpik London namun rakyat Malaysia rata-ratanya tidak menyalahkan atlet itu atas kekalahannya sebaliknya menganggap beliau telah melakukan yang terbaik.

"Saya ucap terima kasih kepada penyokong yang ada di sini hari ini. Saya memang terkejut dan tidak sangka ada penyokong yang tunggu di sini (KLIA).

"Mungkin lebih ramai pada 2008 (Sukan Olimpik Beijing), memang kecewa sebab sedikit lagi untuk dapat pingat emas. Apapun saya telah buat yang terbaik dengan dua minggu sahaja persediaan untuk ke Olimpik kali ini," kata Chong Wei.

Terdahulu, ketibaan Chong Wei dan beregu lelaki, Koo Kien Keat dan Tan Boon Heong disambut Timbalan Menteri Belia dan Sukan Datuk Razali Ibrahim.

Seorang pelajar kolej swasta di Cyberjaya yang hanya mahu dikenali sebagai Kenny, berkata beliau sanggup keluar awal untuk menyambut kepulangan Chong Wei.

"Dia adalah pemain terbaik dunia. Walaupun dia kalah kepada Lin Dan, Chong Wei telah berikan tentangan yang cukup sengit tetapi nasib masih tidak menyebelahi dia," katanya.

Beliau turut berharap Chong Wei tidak akan mudah berputus asa dan terus memberikan sumbangan pingat kepada negara dalam mana-mana kejohanan selepas ini.-BERNAMA

   

iklan

Video

Selasa, 19 Jun 2018 1:13 PM

Takdir ibu & anak 'pergi' bersama

Selasa, 19 Jun 2018 8:30 AM

Cabaran anyam ketupat!

Isnin, 18 Jun 2018 8:00 AM

mStar teka lagu Raya - Challenge

Jumaat, 15 Jun 2018 6:00 AM

Raikan Syawal, bukan 'membawang'

Rabu, 13 Jun 2018 3:40 PM

Perihal suka iklankan maksiat di Instagram

Rabu, 13 Jun 2018 8:00 AM

Jangan sibuk main 'game' dalam bulan puasa

Selasa, 12 Jun 2018 4:06 PM

Cabaran RM15 di bazar Ramadan

Selasa, 12 Jun 2018 9:00 AM

Wartawan mStar pening pilih baju raya

Kolumnis

iklan

Iklan