Chong Wei Akan Disambut Sebagai Wira Negara - Razali

Diterbitkan: Isnin, 6 Ogos 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

MUAR: Datuk Lee Chong Wei akan disambut sebagai wira negara sekembalinya beliau ke tanah air pagi esok walaupun gagal meraih pingat emas dalam perlawanan akhir perseorangan lelaki Sukan Olimpik pada Ahad.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan Datuk Razali Ibrahim berkata Chong Wei telah menunjukkan kesungguhan dan semangat yang tinggi ketika bertarung menentang musuh ketatnya, Lin Dan.

"Dia menunjukkan kesungguhan dalam usaha memenangi pingat emas di temasya terunggul itu. Inilah yang dinanti-nantikan oleh seluruh rakyat Malaysia," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan perlawanan antara kedua-dua jaguh dunia itu di kediaman beliau di Seri Menanti di sini pada Ahad.

Katanya semua pihak harus akur dalam sukan ada pihak yang menang dan ada yang kalah. Chong Wei tewas kepada Lin Dan dengan keputusan 21-15, 10-21 dan 19-21.

Razali mengucapkan tahniah kepada Chong Wei kerana berjaya menyumbang pingat perak untuk Malaysia. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan