Sukan Olimpik: Harapan Rangkul Gangsa Dalam Badminton Beregu Lelaki Musnah - Raket | mStar

Sukan Olimpik: Harapan Rangkul Gangsa Dalam Badminton Beregu Lelaki Musnah

Diterbitkan: Ahad, 5 Ogos 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

LONDON: Harapan Malaysia untuk merangkul pingat pertama pada Sukan Olimpik 2012 musnah selepas pasangan beregu negara Koo Kien Keat/Tan Boon Heong tewas kepada Chung Jae Sung/Lee Yong Dae dari Korea Selatan dalam penentuan pingat gangsa.

Perlawanan yang berlangsung di Wembley Arena, di sini Ahad, pasukan lelaki Malaysia kalah 21-23, 10-21 dalam perlawanan yang memakan masa 47 minit.

Dalam perlawanan Kumpulan D sebelum itu, Koo/Tan dikalahkan oleh pemain Korea Selatan 16-21, 11-21.

Dalam set pertama, pemain Malaysia yang berada di ranking kelapan dunia, mendahului dengan kedudukan 3-1, 8-5, 14-10 dan 19-13 sebelum pasangan Korea Selatan itu memintas dan menyamakan kedudukan 20-20.

Pasangan Jae Sung/Yong Dae, yang mempamerkan kombinasi smash dan drop-shotmembenarkan beregu Malaysia mengutip mata berikutnya sebelum menamatkan perlawanan dengan 23-21.

Dalam set kedua, pasangan Korea Selatan memperkemaskan perlawanan mereka, mendahului keseluruhan permainan, 9-3, 14-5, 17-9, dan memenangi perlawanan dengan keputusan 21-10.

Koo berkata amat mengecewakan kerana mereka mendahului set pertama dengan 19-13.

"Kami yakin memenangi set pertama. Ia adalah penting kerana jika kami memenangi perlawanan itu, ia akan memberi tekanan kepada pihak lawan. Tetapi mereka lebih tenang, bangkit semula dan kami kalah set itu.

"Dalam set kedua, mereka lebih yakin. Kami telah memberikan yang terbaik," kata Koo kepada pemberita selepas perlawanan itu.

Manakala Tan mengakui selepas selesa mendahului set pertama dengan 19-13, mereka mahu segera menamatkan perlawanan itu. "Di situlah kami melakukan kesilapan. Dalam pusingan kedua, beregu Korea Selatan itu bermain lebih baik dan bersedia menerima hantaran kami," katanya.

Mengenai perancangan selepas ini, Koo dan Tan berkata mereka mahu mewakili negara pada Sukan Olimpik Brazil pada 2016.

Sejak Malaysia menyertai temasya Olimpik pada 1956, hanya beregu Cheah SoonKit/Yap Kim Hock (Atlanta 1996) dan Chong Wei (Beijing 2008) yang hampir memenangi pingat emas buat negara pada temasya itu, namun hajat mereka tersekat di peringkat akhir untuk sekadar meraih pingat perak.

Pasangan adik-beradik Razif-Jalani Sidek menyumbangkan pingat Olimpik pertama kepada Malaysia semasa Olimpik Barcelona 1992 dengan meraih gangsa sementara adik mereka, Rashid juga memenangi gangsa di temasya yang sama. -- BERNAMA

   

iklan

Video

Selasa, 19 Jun 2018 1:13 PM

Takdir ibu & anak 'pergi' bersama

Selasa, 19 Jun 2018 8:30 AM

Cabaran anyam ketupat!

Isnin, 18 Jun 2018 8:00 AM

mStar teka lagu Raya - Challenge

Jumaat, 15 Jun 2018 6:00 AM

Raikan Syawal, bukan 'membawang'

Rabu, 13 Jun 2018 3:40 PM

Perihal suka iklankan maksiat di Instagram

Rabu, 13 Jun 2018 8:00 AM

Jangan sibuk main 'game' dalam bulan puasa

Selasa, 12 Jun 2018 4:06 PM

Cabaran RM15 di bazar Ramadan

Selasa, 12 Jun 2018 9:00 AM

Wartawan mStar pening pilih baju raya

Kolumnis

iklan

Iklan