Ranking No.1 Dunia Kini Milik Federer

Diterbitkan: Isnin, 9 Julai 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Federer meraikan kejayaannya merangkul kejuaraan Wimbledon buat kali ketujuh.
Federer meraikan kejayaannya merangkul kejuaraan Wimbledon buat kali ketujuh.

SETELAH bergelut dengan prestasi tidak menentu sepanjang tempoh dua tahun setengah, pemain tenis kelahiran Switzerland, Roger Federer mengembalikan detik kegemilangan dalam kariernya.

Dalam usaha menyakinkan peminat tenis bahawa dirinya masih berbisa, Federer bangkit mempamerkan persembahan mantap dan bertenaga untuk menumpaskan pemain Britain, Andy Murray pada aksi final kejohanan tenis Wimbledon, awal pagi Isnin.

Pada perlawanan penuh dramatik itu, Federer menang 4-6, 7-5, 6-3, 6-4 untuk mencipta rekod kejuaraan Wimbledon buat kali ketujuh dan kejuaraan Grand Slam ke-17.

Kemenangan yang dilakar ketika bapa kepada bayi kembar perempuan itu akan meraikan hari lahir ke-31 bulan depan, melonjakkan kembali takhta Federer sebagai pemain No.1 dunia.

Lebih manis, Federer berjaya menyamai rekod legenda tenis dunia, William Renshaw dan Pete Sampras yang memenangi tujuh kejuaraan Wimbledon sepanjang karier masing-masing.

Kebangkitannya itu mengejutkan ramai pihak terutamanya mereka yang meragui kebolehan Federer untuk terus mencipta nama selepas kali terakhir menewaskan Murray pada aksi final tenis Terbuka Australia, dua tahun lalu.

Tahun lalu merupakan igauan ngeri buat Federer di mana dia tergelincir ke tangga ketiga selepas tewas di tangan Nadal pada aksi final Terbuka Perancis dan dikejutkan pemain Perancis, Jo-Wilfried Tsonga pada pusingan ketiga kejohanan tenis Montreal Masters.

Bagi Federer, beliau tidak pernah meragui keupayaannya untuk menamatkan kemarau kejuaraan kejohanan Grand Slam pada usia 30 tahun.

"Meskipun usia 30 tahun dianggap sebagai penamat era kegemilangan dalam karier seseorang pemain tenis terkemuka dunia, saya tetap yakin dengan bakat dan keupayaan diri.

"Setiap pemain akan melalui pasang surut dalam karier masing-masing. Untuk memenangi kesemua perlawanan sepanjang tahun adalah mustahil tetapi keyakinan saya untuk melakar kejayaan masih tinggi," katanya.

Bagaimanapun, bayang-bayang Novak Djokovic (Serbia) dan Nadal yang dilihat berpotensi besar mengukir sejarah dalam arena tenis dunia akan terus menghantui Federer untuk mengekalkan ranking No.1 dunia.

Nadal, Djokovic dan Murray sekali lagi akan menjadi halangan buat Federer untuk merangkul kejuaraan Grand Slam ke-18 pada Terbuka Amerika Syarikat di New York, musim panas ini.

Namun, semangat dan keyakinan tinggi yang dipamerkan Federer pada aksi final, awal pagi Isnin memberi gambaran awal bahawa tiada yang mustahil bagi dirinya dalam mengharungi beberapa kejohanan utama tahun ini.

"Saya sentiasa berfikiran positif, enggan terlalu memikirkan mengenai gelaran pemain No.1 dunia. Corak permainan saya kini lebih stabil. Saya akan cuba mengelak daripada melakukan kesilapan selepas ini," katanya.

iklan

Video

Khamis, 19 Oktober 2017 1:00 PM

Lebih Baik Jual Album Sendiri - Firman

Khamis, 19 Oktober 2017 9:00 AM

Tudiaaa... Fesyen Mengancam Selebriti ASK2017

Khamis, 19 Oktober 2017 8:30 AM

Keringat Wanita Waja

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 3:37 PM

Siapa Haida Hafiz?

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Selasa, 17 Oktober 2017 9:00 AM

Ferhad Nak Berdangdut!

Kolumnis

iklan

Iklan