Koo Mahu Kembalikan Zaman Kegemilangan Beregu Nombor Satu Dunia

Diterbitkan: Khamis, 28 Jun 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Beregu lelaki utama negara, Koo Kien Keat dan Tan Boon Heong, mahu mengembalikan zaman kegemilangan mereka sebagai gandingan nombor satu dunia yang pernah dicapai dua tahun lalu.

Sambil menafikan prestasi mereka merundum sebelum ini kerana ketidaksefahaman, Koo berkata mereka kini giat berlatih untuk meningkatkan kembali keyakinan diri sebelum menggalas cabaran negara pada temasya Olimpik London bulan depan.

"Kalau nak kata kami tidak serasi, kita dah berganding lebih lima tahun dan kami masih dalam kelompok beregu terbaik dunia.

"Dulu kami pernah jadi pemain nombor satu dunia dan kalau boleh kami mahu jadi seperti dulu," katanya ketika ditemui pemberita di Stadium Juara, di sini, Rabu.

Koo dan Tan sebelum ini pernah bergelar beregu nombor satu dunia selama enam bulan di antara tahun 2009 dan 2010.

Berdasarkan ranking terkini Persekutuan Badminton Dunia (BWF), beregu utama negara itu berada pada tangga keenam dunia.

Mereka mula menunjukkan peningkatan apabila berjaya mara ke peringkat suku akhir Siri Super Terbuka India, johan GP Emas Terbuka Malaysia dan layak ke separuh akhir Siri Super Premier Terbuka Indonesia tahun ini.

"Ranking tidak membantu sangat, yang penting adalah persiapan iaitu tingkatkan keyakinan dalam latihan, dalam acara beregu, susah nak jangka siapa akan jadi juara, sebab semua pemain balance (setara)," kata Koo.

Koo juga mensasarkan pungutan satu pingat buat negara pada penampilan kedua mereka di temasya Olimpik nanti.

"Bermain dengan peringkat kumpulan di Olimpik, saya rasa ia membantu pemain-pemain untuk mencari keyakinan, dan sebagai pemanas badan kepada mana-mana pemain untuk menyesuaikan diri sebelum ke perlawanan yang sebenar," katanya.

Mengikut format baharu acara badminton yang akan diperkenal pada edisi Sukan Olimpik di London ini, bagi acara beregu 16 pasangan akan bersaing dalam empat kumpulan menerusi pusingan round robin sebelum dua gandingan terbaik dari setiap kumpulan mara ke pusingan kalah mati.

Pada temasya Olimpik Beijing 2008, Koo dan Tan hanya mampu mara ke peringkat suku akhir selepas tewas kepada pasangan Indonesia Markis Kido dan Hendra Setiawan.-BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan