Roland Garros Grand Slam Paling Menarik Tahun Ini

Diterbitkan: Jumaat, 25 Mei 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

 Novak Djokovic
Novak Djokovic

ROLAND GARROS iaitu kejohanan tenis terbuka Perancis yang sedang berlangsung sekarang sehingga 10 Jun mungkin merupakan Grand Slam yang paling menarik tahun ini kerana kesemua lima pemain teratas dunia berpeluang untuk menjuarainya berdasarkan prestasi semasa.

Mendahului disenarai teratas ranking ialah pemain nombor satu dunia, Novak Djokovic diikuti Rafael Nadal, Roger Federer, Andy Murray dan Jo-Wilfried Tsonga.

Tetapi jika berdasarkan prestasi semasa iaitu lima bulan pertama tahun ini, kelihatan juara Grand Slam 16 kali, Roger Federer berada di tahap yang sangat kukuh untuk menambah gelaran Roland Garrosnya yang kedua.

Ini kerana sepanjang tahun ini, Federer telah menjuarai empat gelaran berbanding yang lain. Ini diikuti oleh Nadal (3); Djokovic (2); Murray (1) dan Tsonga (1).

Dari segi perlawanan yang dimenangi pula, Nadal berada di hadapan dengan 33 kemenangan berbanding empat kalah manakala Federer menang 31 perlawanan tahun ini berbanding dengan empat kekalahan diikuti oleh Djokovic (30-5); Murray (22-7) dan Tsonga (24-10).

Bagaimanapun dari sudut kejuaraan keseluruhan, Federer masih jauh mendahului yang lain iaitu dengan 74 kejuaraan sejak menjadi pemain profesional. Namun ini disebabkan dari segi umur dan tempoh bermain Federer jauh lebih lama dari mereka yang lain.

Bekas pemain nombor satu dunia itu kini berusia 30 tahun berbanding Djokovic (24); Nadal (25); Murray (25) dan Tsonga (27).

Dalam kedudukan kejuaraan Grand Slam pula, Federer juga masih dihadapan dengan 16 kali juara diikuti Nadal (10); Djokovic (5) manakala Murray dan Tsonga setakad ini hanya sekadar mampu meraih gelaran naib juara sahaja.

Mungkin Roland Garros kali ini peluang untuk mereka berdua merebut gelaran Grand Slam yang pertama dalam karier masing-masing.

Bagi Nadal pula, seandainya dia menang di Roland Garros tahun ini, dia bakal mencatat sejarah sebagai lelaki pertama memenanginya sebanyak tujuh kali.

Tahun lalu, Nadal menyamai rekod yang dicapai oleh Bjorn Borg apabila memenangi kejuaraan Roland Garros yang keenam selepas menjadi juara pada tahun 2005, 2006, 2007, 2008 dan 2010. Rekod cemerlangnya di sini hanya sedikit cacat pada tahun 2009 apabila tewas di pusingan keempat di tangan Robin Soderling.

Tahun ini rekodnya di atas gelanggang tanah liat sangat baik iaitu menang 16 kali berbanding kalah sekali.

Selepas kalah tujuh kali berturut-turut dalam pertemuan dengan nemisisnya Djokovic (kali terakhir dalam Terbuka Australia tahun ini), Nadal telah kembali yakin dengan menang dua kali ke atas Djokovic iaitu di Monte Carlo dan terbaru di Terbuka Rome minggu lalu.

Namun begitu bukan sahaja Nadal yang ingin melakar sejarah di Roland Garros tahun ini tetapi Djokovic juga sedang mengejar sejarah iaitu ingin menjadi pemain pertama menjuarai kesemua Grand Slam dalam satu musim sejak tahun 1969.

Dia juga telah memenangi tiga kejuaraan Grand Slam melainkan di Roland Garros. Pencapai terbaiknya ialah sekadar tiga kali ke separuh akhir iaitu pada 2007, 2008 dan 2011.

Selain Terbuka Perancis, tiga lagi kejuaraan Grand Slam ialah Terbuka Australia, Amerika dan Wimbledon.

Djokovic telah pun menjuarai Grand Slam yang pertama tahun ini iaitu Terbuka Australia Januari lalu.

Bagi Federer pula, kali terakhir dia memenangi kejuaraan Grand Slam ialah di Terbuka Australia dua tahun yang lalu.

Ini adalah penyertaan Terbuka Perancisnya yang ke-14 selepas bermain buat pertama kali di Roland Garros pada 1999 dan berjaya ke perlawanan akhir tahun lalu tetapi sekali lagi, tewas di tangan Nadal dalam empat set.

Tahun ini prestasinya adalah yang terbaik di kalangan lima pemain terbaik dunia dan walaupun sudah hampir mencecah usia 31 tahun tetapi Federer masih berupaya memenangi empat kejuaraan tahun ini iaitu di Terbuka Madrid, Terbuka Rotterdam, Terbuka Dubai dan Indian Wells sebelum tewas kepada Djokovic di peringkat separuh akhir Terbuka Rome minggu lalu.

Pemain ranking keempat dunia, Andy Murray pula berazam untuk ‘membebaskan’ diri daripada sumpahan ‘separuh akhir.’ Dia asyik tumpas sama ada di peringkat separuh akhir mahupun akhir.

Untuk memecah badi tersebut, Murray telah menggaji juara Roland Garros tiga kali, Ivan Lendl sebagai jurulatihnya.

Untuk rekod, perlu disebut bahawa Murray telah berjaya sampai ke peringkat separuh akhir di empat kejohanan Grand Slam terakhir.

Tahun lalu dia tewas di tangan Nadal di peringkat separuh akhir di Roland Garros.

Tahun 2012 juga merupakan tahun yang sangat bermakna untuk pemain ranking kelima dunia asal Perancis, Jo-Wilfried Tsonga. Kejuaraannya yang pertama tahun ini ialah di Terbuka Qatar di Doha dan beberapa bulan selepas itu dia mencapai tangga tertinggi dalam kariernya iaitu ranking kelima dunia.

Tahun lalu dia tewas di tangan Wawrinka pada pusingan ketiga dan tahun ini dengan prestasi terbaik yang pernah dicapainya Tsonga berkeyakinan penuh yang dia akan sampai sekurang-kurangnya ke suku akhir kejohanan.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan