Nicol Rangkul Kejuaraan Kali Keempat Terbuka Britain

Diterbitkan: Isnin, 21 Mei 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Ratu skuasy negara Datuk Nicol Ann David menewaskan pemain remaja Mesir, Nour El Sherbini di perlawanan akhir untuk merangkul kejuaraan kali keempat Kejohanan Skuasy Terbuka Britain pada Ahad.

Perlawanan itu yang berlangsung di 02 Arena di London, malam ini (2 petang waktu tempatan), menyaksikan pemain nombor satu dunia berusia 28 tahun itu menewaskan lawannya dengan straight set 11-6, 11-6 dan 11-6.

"Walaupun menang 3-0, ia bukanlah perlawanan yang mudah. Beliau (Nour) sungguh bersemangat, bermain dengan pukulan yang baik. Beliau sudah pasti akan memburu kedudukan teratas pada tahun-tahun akan datang. Saya harus bersedia untuk itu.

"Ia adalah sangat bagus dapat memenangi semula trofi ini. Saya telah kehilangannya sebelum ini dan ia bukan situasi yang mudah apabila kalah kejohanan ini beberapa kali," kata Nicol dalam temu bual selepas memenangi kejuaraan kali keempat Terbuka Britain yang disiarkan di Astro Supersport malam Ahad.

Nicol sebelum ini menjuarai kejohanan 2005, 2006 dan 2008. Beliau kalah kepada pemain Australia Rachael Grinham pada perlawanan akhir edisi 2007.

Pada edisi 2009 pula beliau tersingkir pada peringkat suku akhir selepas tewas mengejut di tangan pemain Ireland Madeline Perry.

Terbuka Britain diadakan semula tahun ini selepas dua tahun tidak dianjurkan.

Sementara itu, Nour yang berusia 16 tahun, yang menjadi pemain wanita termuda layak ke peringkat akhir Terbuka Britain tetapi juga pemain Mesir yang pertama dapat berentap di final, mengakui berhadapan dengan Nicol di peringkat akhir adalah perlawanan yang sukar baginya.

"Beliau (Nicol) adalah pemain yang sukar. Semua pergerakan saya harus betul," katanya.

Pemain yang menduduki ranking ke-16 itu terpaksa menempuh laluan sukar dalam penampilan pertamanya sebelum menempah tiket ke akhir, menewaskan pemain ranking keempat, ketujuh dan kelima.

"Minggu ini adalah sesuatu yang menakjubkan bagi saya dapat menewaskan pemain lebih handal. Saya berharap dapat bermain lebih baik tahun depan," kata Nour. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan