Malaysia Mudah Tundukkan Afrika Selatan 5-0

Diterbitkan: Isnin, 21 Mei 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

WUHAN: Malaysia meniti laluan mudah untuk menundukkan Afrika Selatan 5-0 dalam saingan peringkat kumpulan C kejohanan Piala Thomas di Gimnasium Pusat Sukan Wuhan di sini, Isnin.

Perseorangan pertama negara Datuk Lee Chong Wei mudah menewaskan perseorangan pertama republik itu Jacob Malieka 21-13, 21-10.

Beliau berkata meskipun menentang pasukan bukan pilihan, perlawanan pertama itu penting bagi para pemain negara mendapatkan suasana kejohanan.

"Perlawanan pertama ini juga untuk kami mengetahui keadaan sebenar stadium seperti kondisi pendingin hawa dan angin.

"Ini penting sebagai persediaan kerana esokk (Selasa) kami akan menghadapi perlawanan yang sukar iaitu bertemu pasukan Denmark," katanya kepada wartawan Malaysia.

Perseorangan kedua negara, Liew Daren juga tidak menghadapi masalah untuk mengalahkan Willem Viljoen 21-11, 21-9 manakala perseorangan ketiga Muhammad Hafiz Hashim pantas mengenepikan cabaran Prakash Vijayanath 21-10, 21-8.

Beregu utama negara Tan Boon Heong/Koo Kien Keat pula menumpaskan beregu Afrika Selatan Dorian Lance James 21-8, 21-12 manakala Goh Wei Shem/Lim Khim Wah mengalahkan Prakash Vijayanath/Jacob Malieka 21-11, 21-14.

Sementara itu, Chong Wei berkata beliau sebagai perseorangan pertama serta Koo dan Tan sebagai beregu pertama 'wajib' menyumbang mata dalam perlawanan menentang Denmark, Selasa.

"Esok (Selasa) adalah perlawanan yang sengit buat pasukan. Jadi kita mesti bersedia, mesti fokus, kerjasama dan buat sehabis baik," katanya.

Pertemuan Malaysia dengan Denmark, yang akan menentukan juara kumpulan C, dijangka sengit berikutan naib johan kumpulan dijangka diundi bertemu pilihan pertama China dalam peringkat suku akhir Rabu ini.

Denmark yang merupakan pilihan ketiga kejohanan membariskan perseorangan kelima dunia Peter Hoeg Gade, Jan O Jorgensen, Hans-Kristian Vittinghus, serta beregu Carsten Morgensen/Mathias Boe dan Mads Conrad-Petersen/Jonas Rasmussen. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan