Piala Thomas: Chong Wei Nekad Berjuang Habis-Habisan

Diterbitkan: Khamis, 17 Mei 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Chong Wei melambai tangan ke arah wakil-wakil media sebelum berangkat ke Wuhan, China di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini, Rabu. Foto: BERNAMA
Chong Wei melambai tangan ke arah wakil-wakil media sebelum berangkat ke Wuhan, China di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini, Rabu. Foto: BERNAMA

SEPANG: Pemain badminton nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei meminta peminat badminton negara tidak menaruh harapan tinggi pada skuad Piala Thomas negara kali ini namun tetap bertekad akan berjuang habis-habisan di kejohanan di Wuhan, China hujung minggu ini.

Chong Wei yang juga ketua pasukan Piala Thomas negara berharap skuad tersebut mampu melakukan kejutan dan menunjukkan peningkatan seperti yang dilakukan di peringkat kelayakan Piala Thomas di Macau Febuari lepas.

Memang bukan sasaran utama kita di Piala Thomas, tapi saya harap pasukan akan buat yang terbaik, masa kelayakan di Macau sebelum ini, ramai yang bercakap pasukan kita tidak boleh layak tapi akhirnya kita berjaya membuktikan kemampuan kita.

"Kali ini kita sasar mara ke separuh akhir. Saya akan jalani latihan bersama pasukan di Guangzhou sebelum bertolak ke Wuhan. Pasukan akan beri yang terbaik tidak kira bertemu siapa terutamanya ketika bertemu Denmark nanti," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, Rabu.

Chong Wei berlepas ke Guangzhou bersama jurulatih perseorangan negara Tey Seu Bock. Turut sama hadir mengiringi beliau ialah Pengurus Besar Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Kenny Goh dan Pengarah Prestasi Tinggi BAM Datuk James Selvaraj.

Chong Wei berkata beliau tidak dapat berlepas bersama rakan sepasukan yang lain Ahad lepas kerana mengalami demam yang teruk dan khuatir akan menjangkiti rakan-rakan seperjuangan yang lain.

"Walaupun tidak dapat berlatih bersama-sama mereka di sana, saya tetap menjalani latihan seperti biasa," katanya.

Selain Chong Wei, pemain perseorangan dibarisi oleh Muhammad Hafiz Hashim, Liew Daren dan Chong Wei Feng sementara pasukan beregu diwakili Koo Kien Kiat/Tan Boon Heong, Goh Wei Shem/Lim Khim Wah dan Hoon Thien How/Tan Wee Kiong.

Di Wuhan, Malaysia diundi dalam Kumpulan C bersama naib juara lapan kali, Denmark dan Afrika Selatan.

Kali terakhir skuad negara memenangi Piala Thomas ialah pada 1992 di Stadium Negara selepas menumpaskan Indonesia 3-2 pada perlawanan akhir.- BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan