Kemenangan Ini Kembalikan Keyakinan Saya - Chong Wei

Diterbitkan: Isnin, 7 Mei 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

JOHOR BARU: Kejuaraan yang dimenangi dalam Kejohanan Badminton Grand Prix (GP) Emas Terbuka Malaysia 2012 di Stadium Bandaraya di sini mengembalikan semula keyakinan Datuk Lee Chong Wei untuk beraksi lebih agresif dalam kejohanan badminton selepas ini.

Pemain badminton nombor satu negara itu berkata kemenangan selepas menundukkan pemain dari Indonesia Sony Dwi Kuncoro dalam perlawanan terakhir tiga set 17-21, 21-8, 21-10 itu amat menggembirakan dirinya setelah dibelengu masalah kecederaan bahu sebelum ini.

"Saya amat gembira dan harap ia akan beri semula keyakinan kepada saya setelah tewas sebelum ini dalam Kejohanan Badminton Terbuka India," katanya kepada pemberita selepas kejohanan tersebut di sini Ahad.

Dalam Kejohanan Badminton Terbuka India 2012 baru-baru ini pemain nombor satu dunia itu kalah mengejut di tangan bintang muda Korea Selatan, Shon Wan Ho dalam perlawananan akhir.

Kejohanan itu merupakan kejohanan utama yang disertai oleh Chong Wei selepas mengalami kecederaan bahu semasa All England bulan lepas.

Mengulas perlawanan menentang Sony pada perlawanan akhir hari ini, Chong Wei mengakui melakukan banyak kesilapan pada set pertama.

"Pada mulanya hati saya fobia sendikit untuk menyerang, namun dalam set kedua saya buat pukulan smash dan menyerang.

"Ini pun ada terasa sedikit (sakit di bahu) tetapi tak mengapa. Yang penting saya berani dan ini akan beri kembali semangat kepada saya," katanya.

Percaturan itu ternyata menjadi apabila Sony dilihat tertekan dan banyak melakukan kesilapan ditambah lagi dengan sokongan padu yang diberikan lebih 2,000 penonton yang hadir menyaksikan perlawanan akhir itu.

Menurutnya beliau akan kembali meneruskan rawatan selepas ini sebelum menjalani latihan Skuad Piala Thomas negara di Dongguan, China dari 13 hingga 18 Mei ini.

Katanya walaupun skuad yang mewakili negara kali ini ke Kejohanan Piala Thomas di Wuhan, China dari 20 hingga 27 Mei ini dilihat kurang mantap, tapi beliau percaya, pasukan negara mampu memberikan tentangan sengit kepada pasukan yang bertanding. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan