Kien Keat-Boon Heong Mahu Bina Semula Keyakinan Pada Terbuka Malaysia

Diterbitkan: Rabu, 2 Mei 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

JOHOR BAHARU: Kejohanan Badminton Grand Prix (GP) Emas Terbuka Malaysia 2012 di sini akan menjadi medan bagi beregu utama negara Koo Kien Keat dan Tan Boon Heong membina semula keyakinan menjelang Sukan Olimpik London, Julai ini.

Tahap keyakinan diri pasangan itu sedikit sebanyak telah rapuh apabila disingkirkan oleh beregu Indonesia Angga Pratama-Ryan Agung Saputra 18-21, 21-15, 19-21 pada separuh akhir Terbuka India di New Delhi, minggu lepas.

"Kami akan cuba untuk meningkatkan keyakinan kami pada GP ini. Kami akan cuba menerima apa jua kesilapan dalam perlawanan dengan lebih terbuka agar dapat bermain dengan lebih baik," kata Boon Heong di sini, Rabu.

Boon Heong mengakui ada masalah dari segi pertahanan di antara mereka dan akan cuba memperbaikinya sebelum ke London.

Kien Keat dan Boon Heong, yang merupakan pilihan pertama di sini, membuka saingan kejohanan bernilai US$120,000 (RM360,000) dengan mengatasi beregu India Sanjeeth Singh-Jagadish Yadav 21-7, 21-5.

Mereka akan menentang bergu Singapura, Terry Yeo Zhao Jiang-Liu Yi pada pusingan kedua esok.

Kien Keat berkata kesilapan yang mereka lakukan pada Terbuka India adalah berpunca daripada perasaan tertekan kerana tidak mahu kalah dalam perlawanan. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan