Chong Wei Tetap Akan Beri Yang Terbaik Dalam Piala Thomas

Diterbitkan: Jumaat, 27 April 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

NEW DELHI: Sungguhpun fikirannya tertumpu kepada Olimpik London 2012 untuk menyumbangkan pingat emas sulung kepada Malaysia, pemain nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei akan tetap memberi persembahan terbaik pada kejohanan Piala Thomas 2012 yang akan diadakan di Wuhan, China.

"Masih ada 92 hari lagi. Saya akan berlepas 10 hari lebih awal ke England untuk tujuan latihan. Saya harap dapat bermain dengan baik dan bergembira dalam Olimpik saya yang terakhir ini," katanya.

Olimpik London bermula pada 27 Julai.

Meskipun kesemua lawannya yang handal akan turut mengambil bahagian dalam Olimpik London, Chong Wei memberitahu pemberita di sini beliau tidak terlalu memikirkan sangat mengenainya.

Chong Wei bercakap kepada pemberita selepas menumpaskan pemain India, Ajay Jayaram untuk mara ke suku akhir Terbuka India.

"Saya mahu bermain dengan baik dan bergembira dengan permainan ini," ulang beliau ketika ditanya lagi mengenai kemungkinan lawannya, terutamanya China, yang dijangka menghantar tiga pemain bagi acara perseorangan lelaki.

Mengulas lanjut mengenai Piala Thomas, beliau berkata kejohanan itu bagaimanapun agak sukar memandangkan pasukan Malaysia tidak begitu kuat.

Edisi 2012 pusingan akhir kejohanan berprestij Piala Thomas dan Piala Uber, yang diadakan setiap dua tahun, akan berlangsung dari 20-27 Mei ini.

Chong Wei juga akan mengambil bahagian dalam Super Series Premier Indonesia dari 12-17 Jun ini. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan