Chong Wei Terlalu Istimewa, Sukar Diganti - Misbun

Diterbitkan: Sabtu, 7 April 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Bekas jurulatih badminton perseorangan negara Datuk Misbun Sidek menyifatkan pemain nombor satu dunia Datuk Lee Chong Wei terlalu istimewa dan sukar diganti.

Misbun berkata satu penilaian khusus perlu dibuat oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM) jika negara ingin melahirkan lebih ramai jaguh badminton bertaraf dunia.

"Nak cari juara memang senang, tetapi kalau mahu lahirkan jaguh nombor satu dunia bukan mudah.

"Kalau kita mahu cari lebih ramai seperti Chong Wei, satu penilaian khusus perlu dilakukan segera," katanya kepada pemberita selepas menerima Anugerah Sukan Untuk Semua (Asus), Jumaat.

Misbun dinobat sebagai Tokoh Sukan Asus 2012 dan membawa pulang wang tunai RM5,000 serta trofi dan sijil.

Anugerah disampaikan Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan Datuk Mohid Mohamed di Hotel Grand Season di sini.

Misbun juga berkata skuad Malaysia Leopard iaitu pasukan junior yang beraksi pada Piala Axiata terdiri daripada pemain harapan negara dan mereka perlu diberi program khusus bagi meningkatkan prestasi permainan secara konsisten.

"Kita ada pemain yang berbakat dan berkaliber, dan saya percaya program khusus penting untuk mereka.

"Badminton tidak seperti dulu di mana kita main dengan 15 mata, dan sekarang ini 21 mata, jadi peningkatan fizikal perlu diberi penekanan lebih," katanya.

Misbun, 52, merupakan tulang belakang kejayaan Chong Wei dan beberapa pemain badminton negara seperti Rashid Sidek, Roslin Hashim serta Muhammad Hafiz Hashim.

Berikut adalah senarai penuh pemenang Asus: 1. Kategori Tokoh Sukan Asus - Datuk Misbun Sidek 2. Kategori Pemimpin Lelaki - Muhammad Hafiz Zainudin 3. Kategori Kategori Wanita - Suraya Yaacob 4. Kategori Persatuan Sukan - Persatuan Kecerdasan Wilayah Persekutuan Labuan 5. Kategori Keluarga Aktif - Kamarulzaman Mohd Ibrahim 6. Kategori Penggerak/Sukarelawan - Samion Ghani 7. Kategori Orang Kelainan Upaya - Ahmad Mahmud (cacat fizikal kaki) 8. Kategori Kelab Sukan Komuniti - Kelab Sukan Komuniti Tanjung Dawai - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan