Mohd Nafiizwan Hadapi Cabaran Getir Pada Terbuka KL

Diterbitkan: Jumaat, 23 Mac 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pemain kebangsaan Mohd Nafiizwan Adnan berhadapan cabaran getir apabila dijadualkan menentang rakan sepasukan dan pilihan kedua Azlan Iskandar pada pusingan pertama Kejohanan Skuasy Terbuka Kuala Lumpur minggu depan.

Jika berjaya melepasi Azlan, seorang lagi atlet negara, Ong Beng Hee pula bakal menantinya di peringkat suku akhir.

Juara Asia 2011 itu bagaimanapun optimis dan yakin mampu untuk menundukkan Azlan dan Ong yang telah beberapa kali memenangi kejohanan itu sebelum ini.

"Kita berlatih bersama, namun siapa yang melakukan persediaan lebih baik dari segi mental dan kecergasaan dan memberi tumpuan 110 peratus akan menjuarai gelaran ini," katanya kepada Bernama di sini, Jumaat.

Anak kelahiran Terengganu berusia 26 tahun itu meletakkan sasaran peribadi untuk mara sekurang-kurangnya ke suku akhir kejohanan tersebut. Mohd Nafiizwan, yang menetap di London, mula berlatih bersama pasukan negara di Pusat Skuasy Nasional Bukit Jalil di sini sejak awal tahun ini.

"Prestasi saya meningkat, banyak benda baru yang saya belajar. Peningkatan saya lebih cepat kerana di sini ada bimbingan peribadi dan juga bantuan analisa video," katanya yang kini menduduki ranking ke-36 Persatuan Skuasy Profesional (PSA).

Mohd Nafiizwan menunjukkan prestasi cemerlang apabila meraih kejuaraan PSA pertamanya pada Terbuka Hibiscus Gardens di Brisbane, Australia bulan lepas.

Selesai Terbuka Kuala Lumpur, beliau akan menyertai pertandingan di Russia dan Amerika Syarikat, sebelum mewakili negara ke Kejohanan Asia (Berpasukan) di Kuwait (1-6 Mei) dan Terbuka British (12-18 Mei).

Terbuka Kuala Lumpur, kini turut dikenali sebagai CIMB Terbuka KL Nicol David akan berlangsung di dua venue iaitu Pusat Skuasy Nasional Bukit Jalil pada 26-28 Mac dan di Berjaya Times Square pada 29-31 Mac.

Selain kategori lelaki, seramai 16 pemain wanita terkemuka dunia mengesahkan penyertaan termasuk penyandang juara Datuk Nicol David. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan