Hujan Jejas Kelancaran Terbuka Malaysia BMW

Diterbitkan: Rabu, 29 Februari 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Perlawanan pusingan pertama dan kedua pada Kejohanan Tenis Wanita Terbuka Malaysia BMW 2012 terjejas ekoran hujan lebat di Bukit Kiara Equestrian & Country Resort di sini, Khamis.

Antara perlawanan yang terjejas melibatkan pemain pilihan pertama Agnieszka Radwanska dari Poland menentang pemain Uzbekistan Akgul Amanmuradova.

Perlawanan yang bermula pada pukul 6.30 petang tadi ditangguh hampir sejam akibat hujan mulai pukul 7 malam tadi.

Perlawanan penentuan ke pusingan kedua itu sebenarnya dijadualkan semalam, namun ditunda ke hari ini setelah perlawanan yang dijadualkan sebelumnya, iaitu Jelena Jankovic dari Serbia bertemu Caroline Garcia dari Perancis, berlangsung hampir tiga jam dan hanya berakhir pada pukul 12 malam semalam (Selasa).

Penangguhan perlawanan disebabkan hujan sudah menjadi kebiasaan sejak hari pertama kejohanan lagi.

Pihak penganjur yang ditemui enggan memberi sebarang komen dan hanya memberitahu bahawa perlawanan akan dimulakan sebaik sahaja hujan berhenti.

Sementara itu, pilihan kelima kejohanan Petra Martic dari Crotia menjadi pemain pertama mara ke pusingan suku akhir setelah mengalahkan pemain Jepun, Kurumi Nara 6-2, 3-6, 6-0.

Pemain dari pusingan kelayakan Hsieh Su Wei dari Taiwan turut menempah tiket ke suku akhir setelah menundukkan pemain Australia Casey Dellaqua 6-1, 7-5. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan