Piala Uber: Malaysia Tewas 0-5 Kepada Indonesia

Diterbitkan: Sabtu, 18 Februari 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Skuad wanita negara tewas 0-5 kepada Indonesia dalam pusingan penentuan tempat kelima hingga kelapan mengikut format round robin Kejohanan Pusingan Kelayakan Piala Uber Zon Asia di Macau, China pada Sabtu.

Pada pusingan penentuan yang bermula Jumaat Malaysia telahpun tewas kepada Hong Kong 2-3, dan skuad negara pada Sabtu gagal mencuri sebarang mata dari pasukan Indonesia.

Selain Malaysia, Indonesia, Singapura dan Hong Kong turut bersaing bagi meraih slot terakhir ke pusingan akhir Piala Uber yang akan diadakan di Wuhan, China dari 20 hingga 27 Mei ini.

Pasukan Indonesia memulakan kempen kemenangan dengan memperoleh mata pertama menerusi pemain perseorangan Adrianti Firdasari yang mudah mengatasi pemain negara Lydia Cheah, 21-7 dan 21-13 dalam masa 30 minit.

Indonesia terus mengumpul mata seterusnya apabila pasangan beregu Greysia Polii dan Meiliana Jauhari mengalahkan beregu negara Vivian Hoo dan Woon Khe Wei 21-15, 18-21 dan 21-15 manakala perseorangan kedua Indonesia Maria Febe Kusumastuti menunduk perseorangan negara Sannatasah Saniru 21-13,21-18.

Pertemuan sengit beregu negara Chin Eei Hui dan Goh Liu Ying yang mendahului pasangan Nitya Krishinda Maheswari dan Anneke Feinya Agustin pada set pertama terpaksa akur dengan kekalahan 21-11, 8-21, dan 18-21 dalam masa 47 minit.

Perseorangan ketiga Indonesia Lindaweni Fanetri menutup tirai perlawanan mengatasi pemain peseorangan negara Yang Li Lian, 21-10, 21-9.

Juara bagi pusingan penentuan hanya layak ke pusingan akhir sekiranya kedudukan ranking pasukan itu lebih tinggi daripada tempat keempat pasukan dalam Kejohanan Pusingan Kelayakan Piala Uber Zon Eropah. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan