Kelayakan Piala Thomas: Malaysia Tewas 0-3 Kepada Jepun

Diterbitkan: Sabtu, 18 Februari 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Skuad Piala Thomas negara tumpas 0-3 kepada Jepun dalam pusingan separuh akhir Kejohanan Pusingan Kelayakan Piala Thomas Zon Asia di Macau, China pada Jumaat.

Walaupun kalah, skuad Piala Thomas negara telahpun layak ke pusingan akhir Piala Thomas di Wuhan, China, Mei depan selepas mengalahkan India 3-0 pada peringkat suku akhir pusingan semalam.

Ketiadaan pemain perseorangan No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei ternyata memberi tamparan hebat buat skuad negara untuk mencuri satu mata dari Jepun.

Difahamkan, Chong Wei kini sedang berehat sebelum membuat persiapan bagi menghadapi Kejohanan All England pada 6-11 Mac ini.

Bekas juara All England 2003, Muhammad Hafiz Hashim gagal memberi mata pertama buat negara apabila kalah kepada perseorangan No. 6 dunia, Sho Sasaki 19-21, 16-21 dalam masa 36 minit. Pasangan beregu negara Lim Kim Wah/Goh V Shem kecundang 11-21, 21-11 dan 18-21 di tangan beregu terbaik Jepun, Hirokatsu Hashimoto/Noriyasu Hirata.

Pemain nombor tujuh dunia, Kenichi Tago menutup tirai perlawanan itu dengan mengatasi Liew Daren 30-28, 21-19 dalam masa 60 minit.

Skuad negara dijadualkan akan bertemu pasukan Indonesia pada penentuan tempat ketiga dan keempat esok. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan