Kien Keat/Boon Heong Dipisahkan Sebagai Strategi Skuad Negara

Diterbitkan: Jumaat, 3 Februari 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Gandingan utama beregu negara, Koo Kien Keat/Tan Boon Heong mungkin dipisahkan sebagai salah satu strategi Malaysia menyekat penguasaan beregu Korea Selatan dalam kempen Kelayakan Piala Thomas di Macau, dari 13 hingga 19 Februari ini.

Jurulatih beregu negara Pang Cheh Chang berkata Koo/Tan yang membentuk beregu nombor enam dunia bakal berdepan dua gandingan terkuat lawan, Jung Jae Sung/Lee Yong Dae di ranking kedua dunia dan Ko Sung Hyun/Yoo Yeon Seong di tangga ke-empat.

"Saya dan ketua jurulatih beregu lelaki, Tan Kim Her mungkin menggandingkan Tan dengan Hoon Thien How. Gandingan itu sebelum ini pernah diuji di kejohanan Piala Sudirman di Qingdao, China pada Mei lepas dan melakar kemenangan ke atas Jung Jae Sung/Lee Yong Dae," katanya, Jumaat.

Sementara Koo boleh digandingkan dengan pemain beregu lain yang tersenarai ke Macau seperti Lim Khim Wah, Goh V Shem dan Teo Kok Siang.

Malaysia yang yakin dengan kemampuan dua pemain perseorangannya, Datuk Lee Chong Wei dan Muhammad Hafiz Hashim untuk mengutip dua mata, mengharapkan beregu mampu mencuri satu mata kemenangan.

Pang berkata keserasian Tan/Hoon kini diuji dalam sesi latihan dan pemain tersebut masih mempunyai masa seminggu lagi untuk memantapkan gandingan mereka sebelum skuad Piala Thomas dan Uber negara berlepas ke Macau pada Sabtu depan.

Skuad negara akan memulakan kempen Kelayakan Piala Thomas dengan bertemu Hong Kong pada 14 Feb diikuti Korea Selatan pada keesokan harinya.- BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan