Novak Djokovic & Andy Murray Dua Sahabat Karib Sejak Remaja

Diterbitkan: Jumaat, 27 Januari 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

MELBOURNE: Mereka akan berhadapan satu sama lain tidak sampai setengah jam sahaja lagi di peringkat separuh akhir kejohanan Tenis Terbuka Australia tetapi sesuatu yang menakjubkan tentang pemain nombor satu dunia, Novak Djokovic dan pilihan keempat Andy Murray ialah kedua-duanya merupakan sahabat karib sejak dari kecil lagi.

Jadi adalah sukar untuk kedua-duanya menganggap mereka sebagai seteru atau musuh nombor satu dalam gelanggang.

Walaupun kedua-duanya telah menjadi pemain profesional sejak sekian lama tetapi mereka hanya pernah bertemu 12 kali sahaja di dalam gelanggang.

Kedua-duanya juga berusia 24 tahun dan pertama kali diundi untuk menentang satu sama lain ketika dalam kejohanan remaja di Perancis.

Sehingga ke hari ini, kedua-duanya masih sahabat karib, bermain bolasepak bersama-sama dan kadang-kala berlatih bersama-sama.

Namun satu-satu kejohanan besar yang mempertemu mereka buat pertama kalinya ialah pada kejohanan yang sama tahun lalu. Bezanya mereka bertemu di peringkat akhir tidak sepertimana hari ini di peringkat separuh akhir.

Dalam pertemuan tahun lalu,Djokovic berjaya menumpaskan Murray dalam tiga set: 6-4, 6-2, 6-3.

Hari ini dengan Murray menerima suntikan semangat baru daripada juara Grand Slam sebanyak lapan kali, Ivan Lendl yang baru sahaja dilantik sebagai jurulatihnya, suasana mungkin berubah.

Murray melihat Lendl adalah bayangan dirinya sendiri. Lendl pertama kali menjuarai kejohanan Grand Slam ketika berusia 24 tahun dan selepas tiga kali tewas dalam perlawanan akhir - sama sepertimana dirinya.

Jadi dia merasakan ada persamaan dari segi permainan dan juga gaya di antaranya dengan Lendl.

Benar sungguh, sebaik sahaja Lendl dilantik sebagai jurulatih mereka telah menang kejohanan yang pertama tahun 2012 dua minggu lalu.

Murray berharap, tuahnya akan terus bersinar sepanjang kejohanan ini.

Namun begitu, cabaran dan tekanan sebenarnya lebih berpihak kepada pemain asal Scotland itu yang belum pernah lagi memenangi sebarang kejohanan Grand Slam, sekadar menjadi naib juara sebanyak tiga kali iaitu dua di sini pada tahun 2010 dan 2011 dan satu di Terbuka Amerika pada 2008.

Manakala Djokovic pula menguasai sirkit Grand Slam hampir sepenuhnya tahun lalu - menang di Terbuka Australia, Wembledon dan Terbuka Amerika dan sampai ke peringkat separuh akhir Terbuka Perancis.

Tidak hairanlah dia kini pemain nombor satu dunia.

Namun rekod Murray tidak kurang hebatnya. Dia berjaya sampai ke peringkat separuh akhir di lima kejohanan Grand Slam berturut-turut sejak tahun lalu sehingga sekarang. Djokovic pula tujuh.

Hari ini kita bakal menyaksikan siapakah di antara sahabat karib ini lebih hebat.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan