Sukan Olimpik Lebih Penting: Chong Wei

Diterbitkan: Khamis, 19 Januari 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Chong Wei menunjukkan buku autobiografi dirinya, 'Dare To Be A Champion' yang dilancarkan pada Rabu. Foto: S.S.KANESAN/The Star
Chong Wei menunjukkan buku autobiografi dirinya, 'Dare To Be A Champion' yang dilancarkan pada Rabu. Foto: S.S.KANESAN/The Star

KUALA LUMPUR: Jaguh badminton nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei mengakui tumpuan utama tahun ini adalah Sukan Olimpik berbanding dua lagi kejohanan utama yang bakal disertainya.

Pemain kelahiran Pualu Pinang ini berkata, permulaan tahun ini agak baik selepas menjuarai Terbuka Korea dan Terbuka Malaysia baru-baru ini dan ia dianggap sebagai pembakar semangat untuk menghadapi Sukan Olimpik di London pada Julai nanti.

“Saya akui dua kejohanan baru-baru ini memberi keyakinan untuk melakukan lebih baik selepas ini dan dalam tempoh enam bulan setengah sebelum Sukan Olimpik bermula saya perlu mengekalkan prestasi dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Pun begitu, saya turut menganggap Kelayakan Piala Thomas bulan depan juga penting dan saya akan membantu pasukan negara.

"Saya sedar saingan bukan mudah kerana pasukan China dan pemain lain akan memberi tentangan, tetapi ini adalah kejohanan berpasukan dan saya harap pemain-pemain muda dapat mencari pengalaman daripada kejohanan ini.

“Tidak kira menang atau kalah, saya akan cuba memberi yang yang terbaik, janji semua ada semangat,” katanya kepada media selepas pelancaran buku autobiografinya, Dare To Be A Champion, Rabu.

Chong Wei berkata, selain itu beliau juga akan cuba mempertahankan gelaran juara Seluruh England untuk kali ketiga tahun ini.

“Untuk mengekalkan gelaran kali ketiga bukan senang, tetapi saya akan cuba sebaik mungkin,” katanya.

Sementara itu, mengenai buku Dare To Be A Champion, Chong Wei berkata, buku ini mengisahkan perjalanan kariernya dari mula sehingga bergelar pemain nombor satu dunia.

“Ia menceritakan proses karier saya sebelum mencapai gelaran nombor satu dunia,” katanya.

Chong Wei bakal berdepan dengan Kejohanan Kelayakan Piala Thomas/Piala Uber pada 14 hingga 19 Februari dan Kejohanan Seluruh England pada 8-13 Mac sebelum beraksi pada Sukan Olimpik di London pada 27 Julai hingga 12 Ogos 2012.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan