BAM:Kejohanan Piala Thomas Tidak Ganggu Persediaan Olimpik Chong Wei

Diterbitkan: Khamis, 19 Januari 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Penyertaan jaguh badminton kebangsaan Datuk Lee Chong Wei dalam skuad Piala Thomas negara dikatakan tidak mengganggu persediaan pemain nombor satu dunia itu untuk menghadapi temasya Olimpik London Julai ini.

Sebaliknya, Setiausaha Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Ng Chin Chai berkata penyertaan Chong Wei dalam kejohanan Piala Thomas di Macau bulan depan merupakan sebahagian daripada program latihan yang disusun untuknya.

"Menyertai Piala Thomas akan membantu beliau menghadapi Olimpik," katanya kepada Bernama pada Khamis.

Beliau berkata keputusan tersebut dibuat oleh Exco BAM dalam mesyuarat minggu lalu dan nama Chong Wei juga telah didaftar untuk kejohanan Piala Thomas.

Beberapa pihak sebelum ini mempersoalkan penglibatan atlet harapan negara itu dalam kejohanan Piala Thomas apabila fokus utama beliau ialah untuk meraih emas di London nanti.

Skuad Piala Thomas negara kali ini turut dikatakan lemah dan berkemungkinan tidak mampu untuk melepasi pusingan kelayakan.

Barisan negara yang bakal menggalas cabaran di Macau nanti termasuk pemain perseorangan Muhammad Hafiz Hashim, Liew Daren dan Mohd Arif Abdul Latif serta pasangan beregu Koo Kien Keat/Tan Boon Heong, Goh V. Shem/Lim Khim Wah dan Hoon Thien How/Teo Kok Siang.

Menurut Ng, Chong Wei mempunyai masa yang mencukupi untuk membuat persediaan ke Olimpik, malah bilangan kejohanan lain yang bakal disertainya akan dikurangkan.

"Kami di BAM akan melakukan segala-galanya untuk menyediakannya (Chong Wei) menghadapi Olimpik," katanya.

Selain membantu skuad Piala Thomas negara, Chong Wei akan turut menyertai kejohanan All England Mac ini. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan