Eei Hui/Pei Tty Gantung Raket Jika Gagal Ke Olimpik London

Diterbitkan: Khamis, 29 Disember 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Beregu negara Chin Ee Hui/Wong Pei Tty mungkin menggantung raket jika gagal layak ke Olimpik London tahun hadapan.

Bekas beregu wanita nombor satu dunia itu yang kini berada di ranking ke-20 ekoran kecederaan lutut Pei Tty, bagaimanapun akan berbincang terlebih dahulu dengan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengenai masa depan mereka.

"Usia kami semakin meningkat. Jika BAM masih perlukan khidmat kami, mungkin kami boleh bermain untuk setahun dua lagi.

"Selepas Olimpik London tahun hadapan, kami berharap dapat menjadi jurulatih," kata Ee Hui di sini Rabu.

Hanya 16 regu terbaik layak beraksi di Olimpik London yang akan berlangsung dari 27 Julai hingga 12 Ogos.

Pei Tty, 30, dan Eei Hui, 29, menduduki ranking pertama dunia pada Mei 2009 selepas merangkul kejuaraan Terbuka Indonesia tahun itu.

Mereka baru kembali daripada menyertai kejohanan Terbuka India pada minggu lepas dan sekadar mara ke separuh akhir.

Gandingan itu juga pernah beraksi dalam dua Olimpik sebelum ini, di Athens pada 2004 dan Beijing pada 2008, tetapi tersingkir di pusingan awal di kedua-dua temasya.

Mereka memenangi emas Sukan Sea di Filipina pada 2005 dan juga pada Sukan Komanwel di Melbourne pada 2006.

Eei Hui dan Pei Tty akan memulakan kempen tahun 2012 dengan menyertai Siri Super Terbuka Korea dari 3 hingga 8 Jan sebelum beraksi dalam Super Siri Terbuka Malaysia yang akan berlangsung di Stadium Putra, Bukit Jalil dari 10 hingga 15 Jan. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan