Tun Mahathir Dilantik Penaung Kejohanan Tenis Terbuka Malaysia 2012

Diterbitkan: Khamis, 22 Disember 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad telah dilantik sebagai penaung kepada kejohanan tenis wanita Terbuka Malaysia BMW 2012.

Pihak penganjur kejohanan membuat pengumuman itu pada Rabu.

Dalam satu kenyataan, Pengarah Urusan BMW Malaysia, Geoffrey Briscoe berkata Dr Mahathir merupakan penyokong kuat dalam membawa acara kejohanan sukan antarabangsa ke Malaysia.

Edisi ketiga kejohanan ini yang merupakan kejohanan Persatuan Tenis Wanita (WTA) akan berlangsung dari 27 Feb hingga 4 Mac di Bukit Kiara Equestrian & Country Resort di sini.

Juara tujuh kejohanan Grand Slam, Venus Williams dari Amerika Syarikat merupakan antara bintang tenis handalan dunia yang akan mengambil bahagian dalam kejohanan yang menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan sebanyak AS$220,000 (RM690,172).

Yang akan turut mengambil bahagian ialah pemain nombor sembilan dunia Marion Bartoli dari Perancis dan bintang dari China yang sedang meningkat naik Peng Shuai.

Persatuan Lawn Tenis Malaysia (LTAM), Tan Sri Abdul Razak Latiff pula berkata beliau teruja untuk menjadikan Dr Mahathir sebagai penaung kejohanan kerana penglibatannya akan menambah elemen penting kepada kejohanan dan mengukuhkan usaha persatuan itu untuk menarik perhatian lebih ramai masyarakat tempatan dan luar kepada kejohanan tenis di Malaysia.-BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan