BAM Diminta Pertimbang Zulfadli Untuk Piala Thomas

Diterbitkan: Khamis, 8 Disember 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Bapa kepada juara remaja dunia Zulfadli Zulkiffli berharap agar Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menyediakan satu slot untuk anak beliau dalam skuad Piala Thomas negara pada kejohanan itu yang akan berlangsung di Wuhan, China, dari 20-27 Mei tahun depan.

Zulkiffli Sidek, yang juga jurulatih peribadi Zulfadli, berkata anaknya wajar dimasukkan dalam skuad negara setelah membuktikan keupayaan meraih beberapa kejayaan dalam tahun ini termasuk menjadi juara remaja dunia di Taiwan dan juara remaja Asia di India.

"Sebelum ini beberapa pemain BAM seperti Mohd Arif Latiff serta Tan Chung Seang telah diberikan peluang ke dalam skuad Piala Thomas. Selaku juara remaja dunia, beliau seharusnya diberikan peluang sama ada sebagai perseorangan ketiga atau pemain simpanan," katanya, Khamis.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Zolkples Embong baru-baru ini yang berharap supaya Zulfadli diberikan peluang beraksi dalam Piala Thomas berdasarkan kemampuannya meraih pelbagai kejayaan di peringkat antarabangsa tahun ini.

Skuad negara yang muncul juara Piala Thomas sebanyak lima kali sebelum itu harus melalui pusingan kelayakan Zon Asia yang dijadual berlangsung di Macau dari 14-19 Feb tahun depan kerana hanya tuan rumah dan juara bertahan layak secara automatik.

Zulkiffli, yang juga jurulatih sepenuh masa di Kelab Raket Kuala Lumpur (KLRC), berkata BAM sewajarnya membuat pemilihan terbuka dalam menilai pemain-pemain terbaik ke Piala Thomas dan tidak hanya memberi peluang kepada pemain yang bernaung di bawah badan induk badminton negara itu.

"Bagi saya Zulfadli telah memenuhi beberapa syarat untuk bermain dalam Piala Thomas namun saya menyerahkan sepenuhnya kepada BAM dan berharap mereka tidak bersikap double standard dalam perkara ini," katanya.

Zulkiffli juga berkata beliau akan mengiring Zulfadli ke India pada 18 Disember ini untuk kejohanan Grand Prix Emas Terbuka di Lucknow, India, dari 20-25 Dis ini.

"Kalau boleh, saya mahu beliau mara sejauh mungkin untuk mengumpul mata ranking untuk ke kejohanan Badminton All-England pada 2013 nanti," katanya.

Zulfadli, 18, kini menjalani latihan di Dewan Badminton Cinemax di Gombak dan Sekolah Kebangsaan La Salle sebagai persediaan ke kejohanan itu.-BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan