Lee Chong Wei Terima Undi Tertinggi Pemain Pilihan Peminat Badminton Dunia - Raket | mStar

Lee Chong Wei Terima Undi Tertinggi Pemain Pilihan Peminat Badminton Dunia

Diterbitkan: Selasa, 6 Disember 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pemain badminton negara, Datuk Lee Chong Wei menerima undi tertinggi daripada peminat sukan berkenaan dalam tinjauan 'siapa yang mereka inginkan sebagai Pemain Lelaki Terbaik Persekutuan Badminton Dunia (BWF) 2011.'

Pemain nombor satu dunia itu mengatasi musuh ketatnya dari China, Lin Dan, sebanyak 12 peratus dalam undian secara online yang dianjurkan oleh BWF menerusi laman web rasminya www.bwfbadminton.org dan platform media sosial Twitter, Weibo dan Facebook.

Menurut BWF menerusi laman webnya hari ini, Chong Wei meraih 34 peratus undi, Lin Dan (22 peratus), pasangan beregu Cai Yun/Fu Haifeng dari China (16 peratus) dan beregu dari Korea Selatan Lee Yong-dae/Jung Jae-sung (14 peratus).

"Undian peminat ini terbukti menjadi 'dendam yang manis' buat Lee Chong Wei, yang berada di tempat keempat dalam undian itu pada 4 petang (waktu tempatan semalam), manakala Lin Dan pula menjadi pendahulu.

"Chong Wei akhirnya menduduki tempat teratas sebagai pilihan peminat, setelah beliau mengetepikan Juara Dunia empat kali itu dengan 12 peratus undian," kata BWF.

Peminat badminton di seluruh dunia diberi peluang untuk mengundi selama 24 jam bermula 8 malam pada 4 Disember lalu.

Keputusan undian peminat akan dikongsi bersama dengan Majlis BWF, yang ketika ini mengadakan mesyuarat di Queenstown, New Zealand dan akan membuat keputusan akhir mengenai pemenangnya.

"Sungguhpun keputusan dan pencapaian pada musim 2011 menjadi faktor utama yang diberi pertimbangan, namun tarikan peminat dan kualiti seseorang pemain sebagai contoh ikutan semakin penting sebagai kriteria dalam menentukan pemenang anugerah Pemain Terbaik BWF," kata BWF.

Sementara itu, bagi kategori Pemain Wanita Terbaik BWF 2011, pemain beregu campuran Liliyana Natsir dari Indonesia memperoleh undi tertinggi iaitu 78 peratus, diikuti beregu China Wang Xiaoli/Yu Yang (enam peratus) dan dua pemain perseorangan dari China Wang Shixian (lima peratus) serta Wang Yihan (empat peratus).

Pemenang dua anugerah berprestij itu akan diumumkan pada perlawanan akhir Kejohanan Super Siri Dunia BWF Li Ning di Liuzhou, China, minggu depan. -BERNAMA

   

iklan

Video

Selasa, 19 Jun 2018 1:13 PM

Takdir ibu & anak 'pergi' bersama

Selasa, 19 Jun 2018 8:30 AM

Cabaran anyam ketupat!

Isnin, 18 Jun 2018 8:00 AM

mStar teka lagu Raya - Challenge

Jumaat, 15 Jun 2018 6:00 AM

Raikan Syawal, bukan 'membawang'

Rabu, 13 Jun 2018 3:40 PM

Perihal suka iklankan maksiat di Instagram

Rabu, 13 Jun 2018 8:00 AM

Jangan sibuk main 'game' dalam bulan puasa

Selasa, 12 Jun 2018 4:06 PM

Cabaran RM15 di bazar Ramadan

Selasa, 12 Jun 2018 9:00 AM

Wartawan mStar pening pilih baju raya

Kolumnis

iklan

Iklan