Sukan Sea: Nur Jannah Batrisyah Tutup Tirai Angkat Berat Dengan Gangsa

Diterbitkan: Isnin, 21 November 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PALEMBANG: Skuad negara sekadar meraih pingat gangsa pada hari terakhir acara angkat berat di Stadium Badminton Jakabaring di sini, Isnin.

Ia dimenangi Nur Jannah Batrisyah Teh dalam acara 69kg ke atas wanita menerusi gabungan kategori ‘snatch’ dan ‘clean&jerk’ dengan angkatan keseluruhan 208kg.

Atlet tuan rumah Novita Sherly yang melakukan 224kg angkatan membawa pulang emas manakala rakan sepasukannya Riska Anjani memperoleh perak dengan angkatan 218kg.

"Sebenarnya saya bertarung untuk emas, tapi sayang, jatuh (angkatan) tadi. Apa nak buat. Saya telah berusaha yang terbaik," katanya kepada media.

Beliau yang pertama kali beraksi dalam temasya Sukan SEA melahirkan rasa kecewa dengan pencapaian tersebut.

"Saya akan cuba lagi pada Sukan SEA akan datang. Mungkin tahun ini belum rezeki saya lagi," kata anak kelahiran Sabah ini.

Meskipun gagal meraih emas, Nur Jannah Batrisyah, 21, berjaya mengatasi rekod terbaiknya 115kg yang dilakukan pada Kejohanan Angkat Berat Kebangsaan bulan lepas.

Sementara itu jurulatih pelapis angkat berat negara Matin Guntali berkata fokus utama skuad negara yang terdiri daripada atlet pelapis itu adalah Sukan Komanwel 2014. "Kami tidak mempunyai sasaran tertentu pada Sukan SEA kali ini. Kejohanan ini lebih merupakan pendedahan buat mereka. Mereka juga semua pertama kali menyertai kejohanan besar jadi masing-masing gemuruh," katanya.

Persatuan Angkat Berat Malaysia menghantar tujuh atlet pelapis yang terdiri daripada lima perempuan dan dua lelaki.

Terdahulu skuad itu menyumbang satu perak dan satu gangsa masing-masing menerusi Abdul Azim Najimi dalam kategori 105kg lelaki gabungan acara 'snatch' dan 'clean & jerk' (perak) dan Firdaus Abdul Razak daripada acara 94-105kg lelaki ‘clean & jerk (gangsa).

Thailand mengungguli acara tersebut dengan merangkul sembilan emas manakala tuan rumah Indonesia empat emas. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan