Nicol Rangkul Juara Terbuka Hong Kong Kali Ketujuh

Diterbitkan: Isnin, 21 November 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Ratu skuasy negara Datuk Nicol Ann David merangkul kejuaraan Skuasy Terbuka Hong Kong buat kali ketujuh berturut-turut dengan penuh bergaya selepas mengalahkan pilihan kesepuluh dari Mesir Raneem El Weleily dalam perlawanan akhir di Hong Kong Cultural Centre Piazza pada Ahad.

Pilihan utama dan pemain nombor 1 dunia itu beraksi cemerlang untuk mengetepikan El Weleily, bekas juara remaja dunia dua kali, dalam perlawanan straight set dengan catatan 11-5, 11-4 dan 11-9 dalam masa hanya 30 minit.

Nicol berkata permainan awal dalam perlawanan itu agak sukar bagi beliau memandangkan El Weleily melakukan enam pukulan 'nick' berturut-turut dengan baik, sekali gus memaksa beliau untuk banyak berlari.

"Raneem boleh bermain dengan pantas bila-bila masa sahaja dia mahu. Sama seperti pemain lain, dia sering meningkatkan tekanan, dan saya perlu berada dalam keadaan siap sedia pada setiap masa.

"Sekarang, saya akan kembali semula ke gelanggang latihan, dan melihat apa yang saya boleh baiki serta tingkatkan dan beraksi dengan lebih baik pada musim akan datang," kata beliau seperti yang dipetik oleh www.squashsite.co.uk.

Dalam kategori lelaki, pemain nombor empat dunia, James Willstrop dari England terpaksa berhempas pulas sebelum berjaya menundukkan pilihan kedua yang juga pemain nombor tiga dunia Karim Darwish dari Mesir dengan catatan 11-5, 11-9 dan 11-4 dalam masa 53 minit.

Dengan kemenangan itu, Nicol membawa pulang HK$79,560 (RM32,319) dan sebuah trofi manakala Willstrop pula meraih HK$184,275 (RM74,789) dan trofi. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan