Skuasy: Nicol, Jenny Bakal Berentap Dalam Kejohanan Terbuka Dunia

Diterbitkan: Ahad, 6 November 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pemain nombor satu dunia Datuk Nicol David semakin menghampiri gelaran juara skuasy Terbuka Dunia buat kali keenam selepas mengalahkah pemain Netherlands, Natalie Grinham untuk menempah tempat ke perlawanan akhir.

Nicol, 28, yang meraih gelaran juara Terbuka Dunia lima kali sebelum ini, hanya mengambil masa 44 minit untuk mengetepikan lawannya dalam straight set 11-9, 11-4 dan 11-6 di Victoria Squash di Rotterdam, pada Sabtu.

"Beraksi menentang Natalie sekali lagi di negaranya sendiri, dengan jumlah penonton sebesar ini sememangnya sangat sukar, dan memenangi perlawanan pertama amat penting.

"Anda tidak boleh terlalu memikirkan yang ini adalah separuh akhir Terbuka Dunia, dan memecah rekod atau seumpamanya. Anda perlu menganggapkannya sebagai satu lagi kejohanan, tumpukan perhatian dan bermain setiap perlawanan apabila tiba masanya," kata Nicol seperti yang dipetik oleh laman web rasmi pertandingan, www.worldopensquash2011.com.

Nicol akan berdepan musuh tradisinya dan pemain nombor dua dunia, Jenny Duncalf dari England dalam perlawanan akhir yang akan diadakan pada 2 petang waktu tempatan hari ini.

Kali terakhir kedua-dua jaguh itu bertemu dalam perlawanan akhir tahun ini ialah Terbuka Australia pada 14 Ogos, dengan Nicol meraih kejuaraan Terbuka Australia buat julung kali.

Jenny menempah tempat ke perlawanan akhir selepas menundukkan Samantha Teran dari Mexico, juga dalam straight set 11-9, 11-4 dan 11-7 dalam masa hanya 36 minit.

Sementara itu, bagi kategori lelaki, pilihan utama Nick Matthew dari England akan bertemu pemain Perancis Gregory Gaultier dalam perlawanan akhir. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan