Rexy Bimbang Pemain Dihantui Perasaan Takut Bermain Di Stadium Istora Senayan

Diterbitkan: Sabtu, 8 Oktober 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih skuad beregu wanita dan campuran negara, Rexy Mainaky, bimbang bahawa tumpuan pemain negara akan terganggu dengan cemuhan penonton pada Sukan SEA 2011 di Stadium Istora Senayan, Jakarta, Indonesia, November ini.

Katanya tekanan penyokong Indonesia lebih mengganggu tumpuan pemain negara berbanding pihak lawan memandangkan stadium berkenaan sering menjadi igauan buruk pemain negara dalam mencatatkan kemenangan.

"Saya berharap semua pemain dapat mengatasi cemuhan penonton ketika memasuki gelanggang supaya mereka dapat memberi tumpuan kepada perlawanan," katanya pada sidang media bersama skuad badminton Sukan SEA di Kafe Atlet Majlis Sukan Negara (MSN), di sini, Jumaat.

Nasihat bekas pemain Indonesia itu adalah berikutan penampilan pertama beberapa pemain pada temasya sukan dwitahunan itu yang mungkin tidak pernah merasai suasana gamat dalam Stadium Istora Senayan.

Rexy khuatir suasana gamat yang bakal dicetuskan oleh penyokong tempatan kemungkinan menimbulkan perasaan gerun di kalangan pemain negara yang tidak berpengalaman.

Walaupun Persatuan Badminton Malaysia (BAM) tidak meletakkan sasaran pingat emas, Rexy berkata anak buahnya mempunyai potensi untuk meraih emas namum perlu realistik tanpa meletakkan harapan terlalu tinggi.

Menurutnya, gandingan Vivian Hoo dan Woon Khe Wei, yang menjuarai Kejohanan Grand Prix Emas Terbuka Indonesia di Kalimantan Timur baru-baru ini, mampu memberikan saingan yang sewajarnya pada temasya itu.

Pada Sukan SEA Laos 2009, Malaysia meraih dua pingat emas melalui beregu wanita Wong Pei Tty dan Chin Eei Hui dan skuad wanita mencipta sejarah selepas mengakhiri penantian 34 tahun dengan mengalahkan Indonesia 3-1 dalam acara berpasukan wanita.

Sementara itu, Pengurus Besar BAM, Kenny Goh menegaskan pihaknya mengambil keputusan untuk menghantar pemain pelapis ke Sukan SEA dan mengecualikan pemain yang terbabit dalam kejohanan kelayakan Sukan Olimpik London 2012.

Katanya pemain skuad negara ke Sukan SEA Indonesia merupakan pemain sandaran negara untuk Sukan Asia 2014 di Korea Selatan dan Sukan Olimpik 2016 di Brazil.

Sukan SEA edisi ke-26 itu akan berlangsung dari 11 hingga 22 November ini di Jakarta dan Palembang. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan