Tipsarevic Muncul Juara Tenis ATP Terbuka Malaysia

Diterbitkan: Isnin, 3 Oktober 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pemain Serbia Janko Tipsarevic berjaya memperoleh gelaran pertamanya apabila muncul juara acara perseorangan pada Kejohanan Tenis ATP Terbuka Malaysia 2011 di Stadium Putra, Bukit Jalil, Ahad.

Pemain pilihan kedua itu mengatasi pemain 'wildcard' Marcos Baghdatis dari Cyprus 6-4, 7-5 pada perlawanan akhir yang mengambil masa dua jam enam minit.

"Saya rasa bangga untuk mencapai kejayaan ke atas pemain handal seperti Baghdatis dalam persekitaran yang selesa ini. Saya fikir saya layak untuk menang dan berjaya mengawal keadaan sepanjang perlawanan.

"Saya tidak menampilkan permainan bercorak pertahanan mahupun agresif," katanya kepada media selepas kejayaan sulungnya itu.

Tipsarevic, pemain nombor 17 dunia, berjaya mengawal permainan agresif oleh Baghdatis dan mampu bangkit semula selepas ketinggalan 0-3 pada set pertama.

Walaupun, Baghdatis, pemain nombor 60 dunia, cuba memberi saingan pada set kedua tetapi Tipsarevic bertindak tenang sehingga akhir perlawanan.

Juara berusia 27 tahun itu membawa pulang trofi dan hadiah wang tunai US$155,000 (RM494,450).

Sementara itu, pada final acara beregu, gandingan Eric Butorac dari Amerika Syarikat dan Jean-Julien Rojer dari Netherland Antilles merangkul kejuaraan selepas menumpaskan beregu Frantisek Cermak dari Republic Czech dan Filip Polasek dari Slovakia 6-1, 6-3.

Butorac/Rojer menerima trofi dan hadiah wang tunai US$47,050 (RM150,089). BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan