Program Latihan Bukan Punca Kekalahan: Rexy

Diterbitkan: Sabtu, 27 Ogos 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih beregu negara Rexy Mainaky menyanggah laporan kononnya program latihannya menjadi punca kekalahan beregu tama Koo Kean Keat dan Tan Boon Heong pada suku akhir Kejohanan Dunia di London, dua minggu lepas.

Sebaliknya, beliau menggesa pihak yang melemparkan dakwaan itu supaya melihat semula tahap kekuatan fizikal dan stamina pasangan itu yang agak rendah berbanding beregu Korea Selatan, Ko Sung Hyun-Yoo Yeon Seong.

"Mereka (Koo dan Tan) sudah diberitahu mereka perlu bermain bersifar serangan semasa menentang pasangan Korea Selatan itu.

"Tapi mereka tidak dapat menyaingi kepantasan dan kuasa beregu itu. Kedua-dua faktor itu bukankah melibatkan kekuatan fizikal pemain, jadi mengapa pula program latihan saya yang dipersalahkan," katanya.

Justeru itu, Rexy, bekas pemain beregu kebangsaan Indonesia itu, mempersoalkan sama ada pihak yang bertanggungjawab memantau tahap kekuatan fizikal dan stamina kedua-dua pemain tersebut, menjalankan tugas dengan baik atau sebaliknya.

Dalam sebuah laporan akhbar hari ini, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dilaporkan menyalahkan program latihan Rexy di atas kekalahan beregu itu pada Kejohanan Dunia yang lalu.

Menurut laporan itu, BAM membuat kesimpulan tersebut setelah mendengar penerangan Pengarah Institut Sukan Negara (ISN) Datuk Dr Ramlan Aziz yang dikatakan membuat penilaian saintifik ke atas corak permainan beregu tersebut.

Koo dan Tan dikatakan menunjukkan corak permainan yang derbanding kejohanan yang sama tahun lepas, khususnya ketika menentang pasangan Korea itu pada perlawanan suku akhir.

Koo dan Tan kalah 17-21, 13-21 kepada beregu Korea tersebut.

Rexy berkata beliau sudah mencurahkan segala ilmu dan pengalaman yang ada padanya kepada Koo dan Tan sepanjang mereka berada di bawah bimbingannya.

"Tapi adakah mereka mampu melakukan apa yang saya suruh jika ia tidak seiiring dengan kekuatan fizikal mereka?" soal pemenang pingat emas Olimpik 1996 itu yang berpasangan dengan Ricky Subagja.

Sementara itu, Dr Ramlan berkata hasil kajian yang dibentangkan kepada beberapa wakil BAM termasuk Presiden Datuk Mohd Nadzmi Salleh itu sebenarnya bukan untuk pengetahuan umum.

"Laporan itu akan dibawa ke mesyuarat jawatankuasa Latihan dan Kejurulatihan BAM untuk penelitian mereka sebelum sebarang tindakan diambil," katanya.-BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan