Bintang Sensasi Muda Perlu Tajaan

Diterbitkan: Rabu, 17 Ogos 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

ALOR SETAR: Bintang sensasi muda, Mohd Hafiz Zhafri Mohd Hafiz, yang berjaya merangkul kejuaraan skuasy remaja Terbuka Hong Kong, memerlukan bantuan penajaan untuk terus berkecimpung dalam sukan itu.

Selepas mengungguli kategori bawah 11 tahun Ahad lepas, Mohd Hafiz tidak pasti masa depannya dalam sukan itu memandangkan ayahnya tidak mampu lagi untuk menanggung perbelanjaan menyertai kejohanan tempatan.

Kelahiran bintang itu hasil komitmen bapanya, Mohd Harif Abdul Aziz, 50, membawa beliau berlatih hampir setiap hari selama empat jam di gelanggang Persatuan Skuasy Kedah di Kompleks Hijau Kuning di sini.

Mohd Harif berkata beliau mengatur jadual latihan dan pelajaran anaknya berusia 10 tahun itu serta menanggung semua perbelanjaan latihan dan pertandingan dalam negara dengan wang sendiri.

Katanya beliau berkorban masa dan wang untuk menggilap bakat dan minat anaknya dalam sukan itu kerana tidak mendapat bantuan mana-mana pihak termasuk dari Majlis Sukan Negeri (MSN) Kedah.

"Saya berharap Kementerian Pelajaran atau MSN tampil membantu agar minat anak saya tidak terhenti separuh jalan," kata Mohd Harif semasa ditemui selepas menyerahkan surat permohonan bantuan kepada Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Mohd Puad Zarkasi di sini, Selasa.

Katanya beliau meminta bantuan timbalan menteri itu bagi mendapatkan penajaan agar Mohd Hafiz Zhafri dapat menyertai semua kejohanan dalam negara.

"Selepas jurulatih Chong Pak Kau mencungkil bakat Mohd Hafiz Zhafri sejak menyertai latihan semasa dalam darjah satu, saya berkorban masa dan wang agar beliau dapat terus berlatih," katanya.

Pada perlawanan akhir di Hong Kong, Mohd Hafiz Zhafri, murid darjah empat Sekolah Kebangsaan Taman Aman, Anak Bukit, dekat sini, mengalahkan rakan senegara, Siow Yee Xian, 11-3, 11-9 dan 11-8.

Kejayaan itu membolehkan pemain itu berentap dengan jaguh-jaguh dunia dalam kategori bawah 13 tahun pada kejohanan berprestij Terbuka Remaja British di United Kingdom pada tahun depan.

Mohd Hafiz Zhafri layak mewakili negara ke Hong Kong selepas menjuarai kategori bawah 11 tahun Liga Kebangsaan tahun lepas yang mempunyai lima sirkit.

Selepas menjuarai Terbuka Pulau Pinang bagi kategori sama tahun ini, Pesatuan Skuasy Amatur Malaysia (SRAM) menaikkan taraf beliau untuk bertanding dalam kategori bawah 13 tahun dan berjaya menduduki ranking ke-14.

Dalam pada itu, Mohd Puad ketika bercakap kepada Bernama selepas menerima permohonan itu, berkata beliau akan memberi perhatian kepada permintaan Mohd Harif serta mengucapkan tahniah atas kejayaan pemain muda itu.

"Saya amat bangganya dengan kejayaan Mohd Hafiz Zhafri yang sesuai dengan konsep 'satu murid satu sukan' dan patut diberi galakkan," katanya.

Katanya beliau akan mengajukan permohonan bantuan penajaan itu kepada Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga Menteri Pelajaran, agar mencari jalan bagi membantu pemain itu dapat menyertai pertandingan sehingga ke peringkat antarabangsa. - BERNAMA

iklan

Video

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Kolumnis

iklan

Iklan