Peserta Hong Kong, Macau Muncul Juara Triatlon Antarabangsa PD

Diterbitkan: Ahad, 24 Julai 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PORT DICKSON: Lee Chi Wo dari Hong Kong dan Hoi Long dari Macau mengungguli Triatlon Antarabangsa Port Dickson (PDIT) 2011 apabila muncul juara keseluruhan lelaki dan wanita di Avillion Admiral Cove, di sini Ahad.

Lee yang pernah bertanding di Sukan Olimpik dan Sukan Asia mencatatkan masa terpantas 1 jam 51 minit dan 14 saat bagi kategori lelaki, manakala Hoi mencatatkan 2:00.01 saat bagi kategori wanita.

Dengan kemenangan itu, masing-masing membawa pulang wang tunai RM1,500, piala pusingan dan juga barangan sukan.

Hadiah disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelancongan, Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian, Warisan dan Adat Istiadat Melayu negeri Datuk Mohammad Razi Kail.

Lee yang juga juara kategori lelaki 30-39 tahun menewaskan pesaing terdekat, Assad Attamimi dari Australia yang mencatat 1:53.46s, manakala Kristof Van Houdt dari Belgium di tempat ketiga dengan 1:59.57s.

Sementara itu, Hoi yang turut menjuarai kategori wanita 16-34 tahun menewaskan Monica Torres dari Filipina yang mencatat 2:07.0s, dan Angie Tan dari Singapura (2:9.44s).

Seramai 1,450 peserta dari dalam dan luar negara menyertai pertandingan itu yang masuk tahun ke-10, yang menyaksikan mereka berenang sejauh 1.5 kilometer, sebelum berbasikal 40 km dan mengakhirinya dengan larian sejauh 10 km.

Pertandingan anjuran kerajaan negeri dengan kerjasama Trisportz Event Management dan Avillion Admiral Cove itu menempa sejarah tersendiri apabila disertai atlet termuda berusia lima tahun bagi kategori Kids Triathlon dan peserta tertua berusia 74 tahun yang bertanding kategori Olympic Triathlon.- BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan