Hasrat Razif Bantu BAM Dibincang Hari Ini

Diterbitkan: Sabtu, 16 April 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Hasrat pakar beregu negara, Razif Sidek untuk membantu Pengarah Prestasi Tinggi Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Datuk James Selvaraj akan dibawa ke mesyuarat jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan badan itu hari ini.

Selvaraj berkata, Razif belum menghantar sebarang surat rasmi kepada BAM mengenai hal itu dan hanya menyatakan hasrat itu kepada media.

Tanpa menyatakan sama ada beliau mahu dibantu oleh Razif atau tidak, Selvaraj berkata beliau akan memberi kenyataan tentang tawaran Razif itu pada Sabtu ini, iaitu setelah berbincang dengan ahli jawatankuasa yang lain.

"Hal itu bukan untuk saya cakap. Saya akan tunggu mesyuarat Sabtu ini untuk lihat kedudukan saya," katanya, Khamis.

Beliau juga berkata soal mengenai kontrak Misbun Sidek turut akan dibincangkan dalam mesyuarat itu.

Selasa lepas, sebuah akhbar tempatan melaporkan mengenai kesediaan Razif membantu BAM sebagai penasihat daripada aspek kejurulatihan beregu negara.

Razif dan adiknya Jailani Sidek merupakan beregu negara yang digeruni lawan pada awal 1980-an hingga awal 1990-an.

Antara pencapaian terbaik gandingan itu termasuk membantu pasukan negara menjuarai Piala Thomas pada 1992 dan membawa pulang pingat gangsa Olimpik 1992 di Barcelona. Mereka juga merupakan juara All-england pada 1982.

Razif juga pernah menjadi jurulatih negara dari 1994 hingga 1996.-BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan