Mohd Azlan Mara Ke Suku Akhir Terbuka Amerika Utara - Raket | mStar

Mohd Azlan Mara Ke Suku Akhir Terbuka Amerika Utara

Diterbitkan: Rabu, 23 Februari 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Jaguh skuasy negara, Mohd Azlan Iskandar meneruskan cabaran untuk merangkul kejuaraan kali kedua musim ini apabila mempamer aksi memberangsangkan pada kejohanan skuasy Terbuka Amerika Utara 2011 di Richmond, Virginia, Amerika Syarikat.

Pada Selasa, pemain ranking ke-13 dunia ini seperti yang dijangka menewaskan Simon Rosner dari Jerman 9-11, 11-1, 11-5 dan 11-7.

Dengan kemenangan tersebut, pemain kelahiran Sarawak yang berusia 28 tahun ini layak ke suku akhir untuk bertemu pemain nombor lima dunia, Amr Shabana dari Mesir, esok (Khamis).

Azlan pernah menang sekali dalam tiga perlawanan bertemu Amr sebelum ini iaitu di pusingan kedua kejohanan Pace Canadian Classic 2007.

Pertemuan terakhir mereka ialah di kejohanan Saudi PSA World Open tahun lalu dengan Amr menewaskan Azlan 3-2.

Malaysia akan turut bergantung kepada Mohd Nafiizwan Adnan yang menempah tempat di pusingan kedua apabila menewaskan pemain Itali, Stephane Galifi dalam pertarungan sengit selama 93 minit pada Isnin.

Nafiizwan akan berdepan pemain nombor lapan dunia dan pilihan keenam kejohanan Peter Barker dari England.-BERNAMA

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan