Chong Wei Bawa Semangat New Delhi Ke Guangzhou

Diterbitkan: Jumaat, 15 Oktober 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SEPANG: Datuk Lee Chong Wei yang menang emas acara perseorangan lelaki pada Sukan Komanwel di New Delhi yang melabuhkan tirainya, Jumaat, mahu meneruskan pula kejayaan itu di Sukan Asia di Guangzhou, China bulan depan.

"Biarpun saingan di Guangzhou adalah lebih mencabar berbanding dengan New Delhi, saya tetap membuat sasaran untuk membawa balik pingat emas," katanya kepada pemberita sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di sini, Jumaat.

Jaguh China, Lin Dan sudah tentu menunggu kehadirannya di Guangzhou nanti.

Namun katanya, kejayaan menumpaskan Lin Dan di Kejohanan Badminton Terbuka Jepun bulan lepas, memberi keyakinan kepada beliau untuk mencapai sasaran emas.

Mengenai kecederaan di belakangnya, pemain nombor satu dunia ini berkata ia hampir pulih dan ia tidak akan menganggu persiapannya untuk beraksi di Guangzhou.

"Dalam masa kurang daripada lima minggu ini, saya akan memberi sepenuh tumpuan kepada latihan dan cuba mengelakkan diri daripada mengalami sebarang kecederaan," katanya.

Ditanya mengenai langkah beliau seterusnya selepas Sukan Asia, Chong Wei berkata sudah tentu ia lebih terarah kepada Sukan Olimpik London 2012.

"Saya mungkin hanya akan mengambil bahagian dalam satu kejohanan bagi memberi lebih tumpuan kepada persiapan untuk Olimpik," katanya.

Atlet renang Pandelela Rinong yang memenangi emas bagi acara 10m platform individu wanita turut optimis untuk mencapai satu perak dan satu gangsa di Guangzhou.

"Cabaran mendapat emas di Sukan Asia adalah lebih sukar namun saya tetap berharap untuk memperolehi sekurang-kurangnya satu pingat gangsa bagi acara 10m platform dan perak bagi acara 10m synchro platform," katanya.

Atlet dari Sarawak ini berkata kecederaan pada lehernya kini semakin pulih dan beliau percaya ia tidak akan menjejaskan tumpuannya pada Sukan Asia.

Pandelela turut memenangi pingat perak bersama pasangannya Leong Mun Yee dalam acara 10m synchro platform wanita. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan