Choon Han Mara Ke Pusingan Kedua - Raket | mStar

Choon Han Mara Ke Pusingan Kedua

Diterbitkan: Khamis, 24 Jun 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

JAKARTA: Pemain perseorangan negara, Wong Choon Hann berjaya mara ke pusingan kedua selepas menewaskan pemain muda Indonesia Yunus Alamsyah pada kejohanan badminton Terbuka Indonesia, di sini malam tadi.

Walaupun terpaksa bersaing sengit selama satu jam 14 minit, Wong menamatkan perlawanan menerusi set penentuan untuk menundukkan Alamsyah dengan 20-22, 21-19, 21-17.

"Alamsyah memulakan permainan dengan bagus, menyerang dan mengumpulkan mata demi mata," kata Wong mengenai pemain muda Indonesia itu ketika ditemui selepas perlawanan tersebut.

Bagaimanapun beliau menyifatkan kemenangannya diperolehi berdasarkan strategi permainan yang tepat kerana menyedari kekurangannya dari segi stamina.

"Dari segi fizik, pasti yang lebih kuat adalah Alamsyah, jadi saya mencari kesempatan untuk mengutip mata apabila ada ruang untuk melakukan serangan," katanya.

Pemain berusia 33 tahun itu akan berhadapan pemain Korea Selatan Shon Wan Ho pada pusingan kedua esok.

Sementara itu, pasangan regu negara Hoon Thien How/Ong Soon Hock pula gagal menempah tempat ke pusingan suku akhir kejohanan itu setelah tewas kepada pasangan tuan rumah Mohammad Ahsan/Bona Saptono dalam perlawanan tiga set yang berakhir 21-14, 23-25 dan 21-15 yang mengambil masa 49 minit malam tadi.- BERNAMA

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan