Mohamad Arif Berjaya Menangi Emas

Diterbitkan: Jumaat, 18 Jun 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

MELAKA: Akhirnya dendam kesumat untuk mengatasi pencabarnya berjaya dilakukan, apabila Mohamad Arif Abdul Latif dari Negeri Sembilan berjaya menewaskan seterunya Chong Wei Feng dari Kedah pada perlawanan akhir badminton perseorangan lelaki Sukan Malaysia ke-13 di Stadium Mini Ayer Keroh di sini, hari ini.

Ini merupakan pertembungan keempat antara dua rakan pelatih badminton kebangsaan pada perlawanan akhir badminton Sukma sejak 2004, dan pada Sukma terakhir di Terengganu, Chong menewaskan Mohamad Arif untuk meraih emas.

Kali ini pemain dari Seremban, Mohamad Arif, dengan permainan bertenaga berkelebihan menewaskan Chong 21-11, 23-25 dan 21-16 untuk mencatat rekod pertemuan antara mereka kini 2-2.

"Saya lebih yakin kali ini. Saya sebagai pemain bukan pilihan, kurang sedikit tekanan terhadap saya," katanya selepas perlawanan berakhir.

Suasana dalam stadium hingar-bingar dengan kehadiran ratusan penyokong Kedah dan Negeri Sembilan memberi sokongan kepada pemain mereka.

Semasa set penentuan, di tengah-tengah keriuhan para penyokong, Mohamad Arif diberikan kad kuning oleh pengadil Mohd Azmi Osman kerana membaling raketnya ke tengah gelanggang.

"Saya kecewa sangat masa itu sebab tak dapat ambil bola (bulu tangkis) yang mudah," jelas Mohamad Arif.

Dalam perlawanan beregu lelaki, Teo Kok Siang dan Tan Wee Kiong memenangi emas bagi Johor selepas mudah menewaskan Yew Hong Kheng dan Chan Peng Soon dari Pulau Pinang 21-8, 21-18.

Dalam perlawanan wanita, Tee Jing Yi dari Pulau Pinang membawa pulang pingat emas perseorangan selepas menewaskan S. Stephanie Shalini dari Wilayah Persekutuan 21-17, 12-21, 21-12.

Bagi beregu, adik beradik Ng Hui Lin dan Hui Ern dari Negeri Sembilan menewaskan pasangan Selangor, Chong Sook Chin dan Woon Khe Wei 21-16, 14-21, 21-13. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan