Semangat, Keberanian Penentu Juara Piala Thomas

Diterbitkan: Khamis, 29 April 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Semangat dan keberanian akan menentukan kedudukan pasukan negara pada kejohanan Piala Thomas kali ini, kata ketua jurulatih negara Rashid Sidek.

Beliau berkata ini kerana skuad Piala Thomas negara dilihat memiliki kekuatan yang setanding dengan pasukan-pasukan gergasi badminton dunia seperti Indonesia dan China.

"Dalam keadaan sekarang jika pasukan negara bertemu dengan pasukan China atau Indonesia, skuad negara mempunyai peluang 50-50. Jadi terpulang kepada semangat dan keberanian pemain pada ketika itu, yang akan menentukan kalah atau menang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa menghadiri majlis ramah mesra dan makan tengah hari bersama Pasukan Piala Thomas dan Uber negara, yang turut dihadiri Menteri Belia dan Sukan Datuk Ahmad Shabery Cheek serta Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Datuk Mohd Nadzmi Salleh, di sini hari ini.

Sementara itu Ahmad Shabery berkata pemain badminton negara akan diberi peluang untuk menjalani latihan secara tertutup di Stadium Putra Bukit Jalil.

Beliau turut mengakui terdapat kesilapan pada pihak BAM berikutan kegagalan menempah stadium berkenaan beberapa minggu lebih awal bagi membolehkan para pemain membiasakan diri dengan keadaan stadium.

"Bagaimanapun saya percaya pemain-pemain memahami perkara ini, dan pasukan negara masih mempunyai banyak kelebihan dalam aspek yang lain seperti cuaca dan sokongan peminat tempatan," katanya.

Skuad Piala Thomas negara dibarisi pemain perseorangan Datuk Lee Chong Wei, Wong Choong Hann, Muhammad Hafiz Hashim dan Tan Chung Seang sementara beregu dianggotai oleh Koo Kien Keat/Tan Boon Heong, Mohd Zakry Abdul Latif/Mohd Fairuzizuan Tazari dan Hoon Thien How/Ong Soon Hock.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan