MSN Tidak Masuk Campur Masalah Dalaman BAM - Zolkples

Diterbitkan: Selasa, 13 April 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Walaupun menghormati keputusan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) memecat Setiausaha Kehormatnya, P. Ganga Rao, namun Majlis Sukan Negara (MSN) merasakan tindakan tersebut tidak kena pada masanya ketika pemain-pemain sibuk menghadapi kempen Piala Thomas dan Uber bulan depan.

Ketua Pengarah MSN Datuk Zolkples Embong berkata pemecatan Ganga merupakan masalah dalaman persatuan dan tindakan tersebut pastinya diambil berdasarkan kebijaksanaan pemimpin BAM.

"MSN masih belum menerima sebarang penjelasan daripada BAM berhubung perkara tersebut. Tetapi saya percaya Presiden BAM, Datuk Mohd Nadzmi Salleh mempunyai sebab dan alasan yang kukuh untuk membuat keputusaan tersebut," katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan BAM memecat Ganga daripada jawatannya sebagai Setiausaha Kehormat, berkuatkuasa serta merta, semalam.

Nadzmi ketika ini berada di Jerman bagi mendapatkan rawatan susulan masalah kesihatannya.

Zolkples berkata Ganga boleh merujuk kesnya kepada Pejabat Pesuruhjaya Sukan sekiranya tidak berpuas hati dengan tindakan BAM.

Zolkples berkata bagi MSN, apa yang penting ketika ini ialah tumpuan pemain-pemain badminton negara dalam menghadapi saingan Piala Thomas dan Uber yang akan berlangsung di Stadium Putra, di Bukit Jalil dari 9 hingga 16 Mei depan.

"Saya sendiri akan jumpa jurulatih dan skuad negara tidak lama lagi bagi menasihatkan mereka agar tidak tertekan dengan masalah dalaman persatuan sebaliknya memberi tumpuan penuh kepada persiapan," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan