Impian Chong Wei musnah pada kejohanan dunia

Diterbitkan: Sabtu, 15 Ogos 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

HYDERABAD: Hasrat Datuk Lee Chong Wei untuk menjadi pemain pertama negara merangkul gelaran pada Kejohanan Badmintion Dunia musnah apabila tersingkir pada saingan suku akhir di sini malam Jumaat.

Pemain nombor satu dunia itu gagal mempamerkan prestasi sebenarnya dan menampilkan corak perlawanan lembap sebelum ditewaskan oleh Sony Dwi Kuncoro.

Chong Wei tewas 16-21, 21-14, 12-21 kepada Sony, nasib sama yang dialami ditangan pemain Indonesia itu pada peringkat suku akhir edisi 2007 di Kuala Lumpur.

"Dia bermain dengan baik sekali hari ini dan saya sedikit tertekan. Saya cuba bangkit pada set kedua tetapi hilang keyakinan selepas Sony menunjukkan persembahan yang matang," kata Chong Wei.

"Dari kecil lagi, saya sentiasa idam pingat Sukan Olimpik dan gelaran dunia tetapi pada kejohanan besar seperti ini saya tidak bernasib baik," katanya.

"Selepas ini, saya mahu berehat dan membincangkan rancangan saya dengan jurulatih," kata Chong Wei yang kelihatan tenang.

Sementara itu, Sony berkata beliau mengambil kesempatan atas kelemahan Chong Wei untuk memenangi perlawanan penting itu.

"Saya lebih tenang dan berhati-hati sepanjang perlawanan," katanya. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan