Pertembungan Malaysia-China bagi gelaran GP Terbuka Malaysia hari ini

Diterbitkan: Ahad, 28 Jun 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

JOHOR BAHARU: Perlawanan akhir pada Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia di Stadium Tertutup Majlis Bandaraya Johor Baharu (MBJB) di sini hari ini akan menyaksikan pertembungan antara Malaysia dan China.

Pemain nombor satu dunia Datuk Lee Chong Mei akan mengetuai barisan negara apabila berdepan dengan bintang baru China, Chen Long, pemain berusia 21 tahun yang menyingkirkan pemain Indonesia Taufik Hidayat pada pusingan pertama.

Pada saingan separuh akhir semalam, Chong Wei dengan mudah menyingkirkan Hu Yun dari Hong Kong 21-9, 21-8 manakala Chen Long mengatasi pemain veteran negara Wong Choon Hann 21-10, 21-16.

"Pertemuan akhir hari ini adalah menarik. Chen Long adalah pemain agresif dalam melakukan serangan dan sabar untuk menunggu masa yang sesuai untuk melancarkan pukulan berbisa," kata Choon Hann.

"Chong Wei seperti kita maklumkan mempunyai kepakaran dalam semua aspek permainan dan banyak pengalaman serta penuh dengan keyakinan diri. Sudah tentu Chong Wei mempunyai kelebihan tetapi anda tidak tahu hasilnya," katanya.

Bagaimanapun, sebelum perlawanan akhir esok, keputusan tiga gelaran pada kejohanan yang menawarkan hadiah wang tunai US$120,000 (RM424,000) sudah menjadi milik pemain China dan Malaysia.

Acara perseorangan wanita dan beregu campuran menyaksikan pertemuan antara pemain China manakala acara beregu lelaki pula ditandingi oleh pasangan negara.

Hanya perlawanan beregu wanita menampilkan beregu utama negara dan juara Terbuka Indonesia Chin Ee Hui dan Wong Pei Tty yang menentang gandingan China, Ma Jin dan Wang Xiaoli.

Beregu negara itu, yang juga beregu nombor satu dunia dan pilihan utama di sini, mengecewakan gandingan Singapura Frances LiuVanessa Neo 21-10, 21-9 pada separuh akhir pertama.

Beregu China Ma Jin dan Wang Xiaoli pula mengatasi beregu senegara Gao Ling dan Wei Yili 21-13, 21-14 pada separuh akhir kedua.

Pada acara beregu lelaki, Tan Boon Heong dan Koo Kien Keat, beregu keempat dunia, terpaksa bangkit untuk mengatasi Alven YuliantoHendra Gunawan dari Indonesia 21-13, 17-21, 21-11 sebelum mara ke final.

Beregu berpengalaman itu akan menentang gandingan muda tempatan Gan Teik Chai dan Tan Bin Shen yang sebelum itu turut melangkah ke perlawanan akhir selepas menewaskan rakan latihan Mak Hee Chun dan Tan Wee Kiong 21-11, 21-15.

"Ini adalah peluang emas untuk merangkul gelaran utama dan kami akan memberi persembahan terbaik. Kami sedar kemantapan gandingan Tan dan Koo kerana kita tewas ada tiga pertemuan dengan mereka di Kejohanan All England, Terbuka Switzerland dan Terbuka Pahang," kata Teik Chai.

Penguasaan pemain perseorangan wanita China dalam persada antarabangsa diteruskan dengan Wang Xin menentang Wang Shixian, yang menyingkirkan pemain pilihan utama Pi Hongyan dari Perancis.

Gelaran beregu campuran akan menjadi buruan antara pemain China apabila Xheng Bo dan Ma Jin berdepan dengan Xu Chen dan Xhao Yunlei.

KEPUTUSAN: SEPARUH AKHIR Lelaki:

Perseorangan: Lee Chong Wei (MAS) mn Hu Yun (HKG) 21-9, 21-8; Chen Long (CHN) mn Wong Choon Hann (MAS) 21-10, 21-16.

Beregu: Koo Kien Keat/Tan Boon Heong (MAs) mn Alven Yulianto/Hendra Gunawan (INA) 21-13, 17-21, 21-11; Gan Teik Chai/Tan Bin Shen (MAs) mn Mak Hee Chin/Tan Wee Kiong (MAs) 21-11, 21-15.

Wanita:

Perseorangan: Wang Xin (CHN) mn Wong Mew Choo (MAS) 21-18, 21-14, Wang Shixian (CHN) mn Pi Hongyan (FRA) 21-14, 21-15.

Beregu: Wong Pei Tty/Chin Ee Hui (MAS) mn Frances Liu/Vanessa Neo (SIN) 21-10, 21-9; Ma Jin/Wang Xiaoli (CHN) mn Gao Lin/Wei Yili (CHN) 21-13, 21-14.

Beregu Campuran: Zheng Bo/Ma Jin (CHN) mn Zhang Nan/Pan Pan (CHN) 21-10, 20-22, 22-20; Xu Chen/Zhao Yunlei (CHN) mn Hendra Gunawan/Vita Marissa (INA) 21-12, 21-15.

BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan