Kejohanan badminton Terbuka Malaysia: Chong Wei terus mara

Diterbitkan: Khamis, 25 Jun 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

JOHOR BAHARU: Datuk Lee Chong Wei berjaya mara ke kelompok 16 pemain terakhir kejohanan badminton Terbuka Malaysia tanpa perlu berhempas pulas mengeluarkan keringat.

Pilihan pertama kejohanan itu menewaskan rakan sepasukan Lim Fang Yang 21-9,21-14 dalam perlawanan pusingan kedua di Stadium Tertutup di sini semalam untuk menempah tiket kelompok 16 pemain terakhir dan akan bertemu pemain China Zhou Wenlong malam ini. Chong Wei, yang menjadi tumpuan para peminat badminton datang untuk menyaksikannya, kini menjadi pemain pilihan untuk memenangi kejohanan selepas pemain pilihan kedua Taufik Hidayat dari Indonesia tewas dalam perlawanan pembukaan kepada bekas juara dunia junior, Chen Long dalam permainan tiga set.

"Saya tahu saya berhadapan dengan permainan mudah hari ini tetapi saya masih tetap menumpukan kepada permainan saya. Saya mahu memberikan persembahan terbaik di sini dan tidak mahu mengecewakan peminat.

"Perlawanan menghadapi Wenlong esok (hari ini) pastinya menarik. Saya tidak pernah bermain menentang beliau. Namun, saya fikir ia bukanlah satu masalah," kata Chong Wei yang menewaskan pemain Singapura Derek Wong 21-12, 21-11 dalam perlawanan pembukaan.

Turut mara ialah Chen Long, yang menewaskan pemain Malaysia, Pei Wei Chung dalam perlawanan semalam dengan keputusan 21-10, 21-10 untuk bertemu dengan pemain dari India, Arvind Bhat, pemain nombor dalam kelompok 16 pemain terakhir.

Kecemerlangan juara junior kebangsaan Iskandar Zulkarnian Zainuddin berakhir malam ini apabila ditewaskan pemain India, Ajay Jayaram 13-21, 20-22.

Iskandar sebelum ini menewaskan pemain pilihan ketiga, iaitu pemain India, Chetan Anand dalam perlawanan pembukaan pagi, semalam.

Bendera India terus berkibar megah apabila pemain wanitanya, Sania Nehwal yang merupakan juara perseorangan wanita Terbuka Indonesia minggu lepas, menewaskan pemain Thailand B. Porntip 21-18, 22-20 untuk menempah tiket dalam kumpulan 16 pemain terakhir.

Wong Mew Choo, yang merupakan pemain pilihan keempat juga mara selepas berjaya menewaskan pemain Kanada, Charmaine Reed 21-7, 21-11. Turut melangkah ke peringkat seterusnya ialah pemain pilihan pertama Pi Hongyan dari Perancis yang menewaskan pemain Singapura, Zhang Beiwen 21-15, 21-19. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan