Kane menang Kasut Emas, Modric pemain terbaik - Fanatik Bola 2018 | mStar

Kane menang Kasut Emas, Modric pemain terbaik

Diterbitkan: Isnin, 16 Julai 2018 2:40 AM

Harry Kane.

(Ubah saiz teks)

SEPERTI dijangka kapten England Harry Kane dinobatkan sebagai pemenang Kasut Emas apabila merekodkan enam gol sepanjang Piala Dunia 2018 di Moscow, Rusia.

Kane, 24, antara pemain yang menjadi tumpuan pada kejohanan empat tahun sekali itu susulan prestasi cemerlangnya bersama Tottenham Hotspur yang menyaksikannya meledak 30 gol di pentas Liga Perdana Inggeris (EPL).

Dia menjaringkan dua gol ketika aksi pembukaan menentang Tunisia termasuk gol kemenangan dan hatrik ketika menundukkan Panama.

Kane turut menjaringkan penalti ketika bertemu Colombia pada kelompok 16 terbaik.

Namun dia dirundung kemarau gol ketika England menang ke atas Sweden.

Situasi sama turut berlaku semasa aksi separuh akhir bertemu Croatia dan penentuan tempat ketiga dan keempat dengan Belgium.

Kane diekori rapat Romelu Lukaku, Kylian Mbappe dan Antoine Griezmann masing-masing dengan empat gol.

Luka Modric.

Dalam pada itu, bintang sensasi Croatia Luka Modric dipilih sebagai pemain terbaik kejohanan dengan menerima Anugerah Bola Emas Piala Dunia 2018.

Prestasi cemerlang Modric yang memainkan peranan penting dalam mengemudi Croatia ke pentas final buat pertama kali membolehkannya mengetepikan pemain Belgium Eden Hazard dan penyerang Perancis, Antoine Griezmann.

Modric merupakan pemain pertama Croatia memenangi anugerah tersebut.

Tags / Kata Kunci: Piala Dunia 2018 , Harry Kane , Luka Modric
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan